Oleh : KAM
SETIU – Sikap dan keterbukaan PAS untuk berunding dengan sesiapa sahaja sentiasa terbuka dengan syarat kali ini PAS mesti memimpinnya.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata meskipun ‘pintu telah ditutup tetapi kuncinya belum lagi dipasang sepenuhnya.
Justeru, kata beliau, tidak mustahil dengan perkembangan politik mutakhir ini Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) menguntungkan PAS.
Namun, kata Ustaz Hashim antara PAS dengan Umno tidak ada tahaluf tetapi perbincangan demi kebaikan rakyat boleh diteruskan.


“Saya pernah dilawati, datang rumah saya pemimpin kanan dari sebuah parti politik. Dia (pemimpin) itu pernah menyebut walaupun kita pernah putus, tahaluf kita telah putus…tetapi takkan tidak ada ruang-ruang perbincangan, pertemuan.
“Dia (pemimpin itu) nak sangat dengan kita (PAS). Akhirnya, kami (PAS) kata, pintu telah ditutup tetapi belum lagi ‘kuncinya’ dipasang.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.7 di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Setiu, pada Sabtu 29 Julai.
Hadir sama pada himpunan itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan bertongkat bagi menyampaikan taujihat kepada ribuan peserta Harap-PGU tersebut.


“Tanggungjawab dan peranan kita (PAS) bahawa kita mesti, siapa pun yang hendak ‘join’ dengan kita, siapa pun nak bersama dengan kita. Kepimpinan mesti dipimpin oleh PAS, sudah cukup pengalaman kita yang banyak,” jelasnya.
Kata beliau, PAS Perlis telah mengambil sikap tegas itu sejak Pilihan Raya Umum ke-13 lalu bahawa PAS sendiri yang menentukan calonnya bertanding.


“Mulai Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, kami di Perlis mengambil satu sikap kita pimpin, kita menentukan calon-calon yang bertanding.
“Kita (PAS) istihar terlebih dahulu walaupun ganggu-gugat datang untuk membatalkan keputusan yang sudah kita buat, kita (PAS) berkeras sampai ke akhir.
“Siapa pun (pembangkang) yang hendak ikut kita boleh tetapi yang memimpinnya mesti PAS,” tegasnya.
Antara pemimpin veteran PAS yang hadir mantan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong.





























