MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersedia menggunakan logo parti itu sendiri sekiranya timbul kekangan berhubung simbol Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di samping mengekalkan pendirian menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Presidennya Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan menggunakan lambang ‘bulan’ merupakan langkah wajar dan praktikal yang sedang diperhalusi parti demi kelancaran persiapan pilihan raya di peringkat jentera.
“Logo PAS pun boleh guna, tak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Pada masa sama, Ustaz Abdul Hadi menegaskan komitmen parti untuk tidak bekerjasama dengan PH demi memastikan kestabilan politik di bawah pentadbiran Melayu-Islam di negeri berkenaan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.
“Yang penting, Melaka ini ialah pimpinan Melayu-Islam, pimpin negeri Melaka. Kita tolak Pakatan Harapan,” jelas beliau.
Menyentuh persediaan jentera, beliau memberi jaminan bahawa proses pengagihan kerusi sedang diuruskan secara muafakat bersama rakan sekutu tanpa pertikaian dalaman.
Manakala menurut beliau,jumlah rasmi kerusi yang akan ditandingi akan dimuktamadkan kelak. Mengenai hubungan dengan Barisan Nasional (BN), Pas kekal terbuka untuk berunding berpandukan sentimen positif penyokong akar umbi terhadap usaha penyatuan politik.
Beliau berharap para penyokong dan pengundi bertenang serta memberi kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk memuktamadkan strategi terbaik menjelang penetapan tarikh PRN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Isu penyelarasan lambang timbul susulan perintah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menggantung aktiviti PN mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi memastikan kepatuhan terhadap aturan pertubuhan.






























