KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu bersedia menggerakkan jentera bagi membantu kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun masih menunggu arahan daripada pimpinan pusat berhubung penetapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi.
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pihaknya sudah menerima beberapa petunjuk berhubung tugasan jentera negeri itu, namun perkara berkenaan belum boleh diumumkan sehingga mendapat makluman rasmi daripada pimpinan pusat.
“Kita masih lagi menunggu arahan daripada pihak pimpinan pusat untuk petugas Terengganu. Ada sudah ‘clue-clue’ sedikit, tetapi saya tidak boleh maklum sehingga pihak pusat sendiri maklum.
“Kita bersedia dan tunggu arahan sahaja,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Haraki Fest 2026 di Kompleks YPU, Kuala Terengganu, hari ini.
Menurutnya, pimpinan PAS sudah turun ke negeri Melaka beberapa minggu lalu bagi persiapan untuk Pilihan Raya.
“Kami sudah turun ke Melaka minggu lepas, dua minggu lepas, tiga minggu lepas. Tetapi kerana masih belum diputuskan DUN yang bertanding, kita tunggu arahan tersebut.
“Bila sudah disahkan DUN-DUN mana, insya-Allah kita akan turun,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ariffin berkata PAS Terengganu turut memberi perhatian kepada kelompok pengundi kali pertama atau first-time voter (FTV), khususnya golongan muda yang bakal menjadi sebahagian daripada kelompok penting dalam pilihan raya.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran jumlah lepasan SPM di Terengganu sekitar 25,000 hingga 27,000 orang setahun, jumlah pengundi baharu boleh berkembang kepada angka yang besar apabila dihimpunkan bagi beberapa tahun.
“Senang sahaja nak tahu FTV ini, setiap tahun tengok SPM. Terengganu ini antara 25,000 hingga 27,000 setahun.
“Kalau campur tahun-tahun berikutnya, dalam tiga kali sudah sekitar 100,000 lebih, dan sekali pilihan raya boleh mencecah sekitar 150,000,” katanya.
Ditanya mengenai pendekatan bagi menarik sokongan golongan muda, beliau berkata pihaknya telah menyediakan beberapa perancangan untuk mendekati kelompok berkenaan, khususnya generasi muda.
“Adalah usaha yang telah kita buat, insya-Allah, untuk menarik mereka. Kita sudah buat perancangan, insya-Allah, untuk menarik pemuda-pemudi,” tambah beliau.






























