SETIU – Dewan Muslimat PAS di semua peringkat disaran membahagikan tugasan mengikut segmen masyarakat bagi memastikan golongan yang memerlukan perhatian tidak tercicir daripada bantuan dan kebajikan.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Dato Siti Zailah Mohd Yusof berkata, gerak kerja kebajikan perlu dilakukan secara lebih tersusun dengan setiap anggota diberikan tanggungjawab khusus untuk mengenal pasti serta membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, antara kumpulan yang perlu diberikan perhatian ialah orang kurang upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal, pesakit kronik dan golongan mualaf.
“Ambil tiga orang fokus kepada OKU, tiga orang fokus kepada anak yatim, tiga orang fokus kepada ibu tunggal, tiga orang fokus kepada pesakit kronik dan tiga orang fokus kepada golongan mualaf.
“Insya-Allah kita fokus semua segmen masyarakat, kita bahagi tugas. Lepas itu maklumat ini bawa kepada DUN masing-masing untuk tindakan,” jelasnya ketika berucap pada Himpunan Mujahidah Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, Rabu lalu.


Siti Zailah menambah, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan masalah rakyat dapat dikenal pasti lebih awal dan disalurkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
Katanya, jentera di peringkat akar umbi juga perlu berperanan membantu masyarakat mendapatkan kemudahan atau bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Kalau dia tidak ada kad OKU, kita ambil maklumat, hubungi pegawai JKM dan bantu proses mendapatkan kad tersebut.
“Kalau dia layak mendapat bantuan zakat, rumahnya bocor atau daif, kita bantu dapatkan borang dan bantu sehingga selesai masalah,” ujarnya.
Beliau turut menambah, golongan anak yatim yang memerlukan perhatian dari segi pendidikan, termasuk keperluan pakaian dan kelengkapan persekolahan.


Menurutnya, golongan mualaf juga perlu disantuni secara berterusan, terutama mereka yang berdepan kesukaran hidup atau tidak mempunyai sokongan keluarga.
Zailah berkata, terdapat juga kes masyarakat yang berdepan masalah dokumentasi seperti tidak mempunyai kad pengenalan sehingga menjejaskan urusan pendidikan, pekerjaan dan perkahwinan.
“Jangan ada yang terpinggir. Kita kena fokus. Inilah tanggungjawab kita semua yang berada dalam saf,” katanya.
Ujarnya lagi, pendekatan turun padang bukan sekadar memberikan sumbangan, sebaliknya perlu disusuli usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat melalui saluran yang betul.
“Kalau inilah tanggungjawab kita, ada masa untuk kita berehat panjang? Tak ada masa. Kerja kita banyak,” katanya.




























