Taman Ilmu; Umno Sia-siakan Duit Rakyat Terengganu

3111

Belum habis lagi isu kutipan tol di LPT2 yang telah menggunakan wang rakyat sebanyak RM1.8 billion, Umno Terengganu terus membuat onar, dan kali ini dijangka sejumlah RM350 juta pula, duit rakyat Terengganu akan dibuang akibat terbengkalainya projek Taman Ilmu di Kota Putera, Besut. Taman yang hanya siap kira-kira 80-90 peratus sahaja itu, telah tertangguh pembinaannya semenjak 2012 lagi kerana masalah pembayaran oleh kerajaan negeri kepada kontraktor. Umno Terengganu tanpa rasa bertanggungjawab terus-menerus membuang duit rakyat Terengganu secara sia-sia bagaikan wang itu pusaka tinggalan keluarga mereka.

IMG_20160714_152013Menurut MB YAB Encik Ahmad Razif Abdul Rahman, pada Mei 2015 yang lalu, kerajaan negeri menjangkakan Taman Ilmu yang dibina di atas tanah seluas 700 ekar itu akan boleh digunakan pada akhir tahun 2015. YAB Razif yang juga Exco Pendidikan ketika tahun 2012 berkata, kerajaan negeri dijangkakan akan memperolehi keuntungan sebanyak RM10 juta setahun apabila Taman Ilmu itu beroperasi nanti apabila sebanyak enam buah universiti telah menunjukkan minat untuk membuka kampus cawangan mereka di situ.

Saya sudah beberapa kali mengemukakan soalan berkaitan status Taman Ilmu ini dalam sidang Dun Terengganu dan terakhir pada Mac 2016 yang lalu, tetapi ditolak. Ia bagaikan ada rahsia yang mahu disembunyikan. Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah menyerah ratusan ekar tanah di Bukit Kor, Marang untuk pembangunan pusat pendidikan tinggi, tetapi sehingga sekarang, kelihatannya sebahagian besarnya walaupun ada satu dua pusat pengajian yang telah diwujudkan, tetapi sebahagian besar kawasan itu masih dilitupi oleh hutan. Ini juga menimbulkan satu lagi persoalan, kenapa tidak dibangunkan kawasan yang telah sedia ada, tetapi dibangunkan kawasan lain yang akhirnya terbengkalai pula. Apakah penyebab kawasan Bukit Kor itu dibiarkan begitu walaupun ianya terletak kurang 20km dari bandar Kuala Terengganu? Adakah agenda politik penyebabnya kerana Bukit Kor terletak di Dun Rhu Rendang?

IMG_20160714_152208Oleh itu Pas mengajak dan menyeru agar rakyat mesti bangkit dan rakyat jangan membiarkan duit rakyat terbiar atau dibazirkan ataupun dikhianati oleh Umno Terengganu lagi, selama-lamanya. Taman ilmu adalah duit rakyat Terengganu. Kita tidak dapat melihat peranan kerajaan pusat dalam membantu untuk pendidikan di Taman Ilmu itu. Pas juga bimbang ini hanyalah wayang bagi menyediakan projek kepada kroni-kroni mereka menggunakan wang rakyat.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
9 Syawal 1437 bersamaan 14 Julai 2017