Tangguhkan Tol LPT2 Sehingga Kerajaan Terengganu Mendapat Hak Perkongsian Konsesi

1767

Oleh : YB Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, AP Kuala Nerus

Keputusan Kerajaan Persekutuan menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk melaksanakan kutipan tol di LPT2 bermula 15 Julai 2016 ini perlu ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri Terengganu diberikan hak perkongsian konsesi yang boleh dipulangkan manfaatnya kepada rakyat Terengganu menerusi pemberian rebet tol apabila ia dilaksanakan nanti.

2. Projek LPT2 bermula dengan kelulusan daripada Kementerian Kewangan pada 15 Julai 2004 dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

3. Pembinaan projek ini dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui pembahagian kerja mengikut nisbah 70: 30. JKR telah membahagikan segmennya kepada 16 pakej dan menyerahkannya kepada beberapa kontraktor. LLM pula melantik Kumpulan MTD.

4. Bagi meneruskan pembinaan projek ini, Kerajaan Negeri Terengganu telah memberikan pendahuluan berjumlah RM1.8 bilion.

5. Pembinaan LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor hingga ke Kampung Gemuroh, Terengganu ini asalnya dijangkakan siap pada Jun 2012, namun hanya dibuka sepenuhnya pada 31 Januari 2015.

6. Kelewatan ini telah mengakibatkan kos asal berjumlah RM3.7 bilion meningkat sebanyak 15% kepada RM4.25 bilion berikutan kenaikan harga barang binaan dan kegagalan berberapa kontraktor menyiapkan pakej masing-masing.

7. Lebih mendukacitakan, lebuhraya ini siap dalam keadaan kualiti jalan yang tidak menepati standard dan prasarana yang tidak lengkap sehingga mengundang bahaya dan ketidakselesaan kepada pengguna. Buktinya, sejumlah 849 kemalangan dengan 36 kematian direkodkan bagi tempoh Februari hingga November tahun lalu. Stesen minyak yang lengkap juga tiada dan hentian R&R pula berkeadaan teruk.

8. Laporan Ketua Audit Negara 2012 sendiri menyatakan bahawa projek pembinaan LPT2 yang diuruskan JKR adalah kurang memuaskan; sedangkan JKR adalah di bawah KKR.

9. JKR juga dalam jawapan balasnya memberikan alasan kekangan peruntukan yang memerlukan pengesahan daripada Kementerian Kewangan sebelum proses tender semula dapat dilaksanakan sebagai punca kelewatan. Ini semua memperlihatkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan.

10. Kerajaan Negeri Terengganu dilihat tidak kuat dalam perundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula RM1.8 bilion yang telah digunakan untuk pembinaan LPT2. Permintaan hak perkongsian konsesi sebanyak 40% kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai imbal balik daripada kos yang telah dibelanjakan itu juga gagal diperoleh. Seterusnya, cadangan pembinaan LPT3 dari Gemuruh ke Jertih sebagai ‘ganti’ kepada jumlah itu juga masih tertangguh. Berkenaan LPT3 ini, respon YAB Perdana Menteri juga amat tidak jelas, “approval of the project would depend on the federal government’s affordability”. Peliknya, Kerajaan Negeri Terengganu bersandar kuat pada jawapan ini.

11. Mendepani hal ini, saya menggesa Kerajaan Negeri Terengganu untuk :

(a) Mendesak Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan tol di LPT2 sehingga Kerajaan Negeri Terengganu diberikan hak perkongsian konsesi.

(b) Menuntut kadar tol yang lebih rendah daripada yang telah diumumkan baru-baru ini memandangkan LPT2 dibiayai oleh Kerajaan; bukannya konsesi. Kadar tol yang dikenakan mestilah sekadar mencukupi untuk menanggung kos operasi dan penyelenggaraan; dan menaik taraf dan membaik pulih sahaja, bukannya berorientasikan meraih keuntungan berganda. Contohnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, jumlah hasil kutipan tol PLUS adalah sebanyak RM2.61 bilion dan jumlah keuntungan selepas cukai berjumlah RM8.4 juta. Kos untuk operasi dan penyelenggaraan dianggarkan hanya 20% sahaja daripada hasil kutipan dan kos menaik taraf dan membaik pulih juga hanya 15-20% sahaja. 50% lagi adalah untuk bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh konsesi tersebut.

(c) Mengisytiharkan rebet khas untuk rakyat Terengganu sebagai satu cara memulangkan hak rakyat Terengganu seperti yang diberikan di tol Lebuhraya Utara Selatan menerusi penggunaan kad Plus Miles.

(d) Mendesak Kerajaan Persekutuan mendedahkan isi kandungan perjanjian konsesi kepada rakyat Terengganu dan memberikan ruang kepada rakyat Terengganu untuk menyatakan pandangan dan bantahan mereka.

12. Kerajaan Negeri Terengganu sepatutnya berpendirian dan bersikap tegas mempertahankan kebajikan rakyat sendiri dalam pelaksanaan tol ini. Malangnya, selepas kalah dalam perundingan perkongsian konsesi, Kerajaan Negeri Terengganu sekali lagi akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

13. Oleh itu, adalah suatu penindasan jika rakyat – khususnya rakyat Terengganu – dikenakan tol di 10 plaza tol di jajaran lebuhraya itu sebagaimana dicadangkan sedangkan kos pembinaan LPT2 ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan dan bukannya oleh konsesi, Kerajaan Negeri Terengganu gagal mendapat hak perkongsian konsesi dan hak rakyat Terengganu untuk mendapat lebuhraya dengan kos tol yang rendah diabaikan.