Al-Quran ialah petunjuk Allah Yang Maha Suci daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Bahkan, satu-satunya petunjuk yang betul dan benar kerana datangnya daripada Allah yang bersifat Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Pemberi Rahmat kepada seluruh alam.
Firman Allah SWT:
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ ١
“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab (al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan (perkara yang terpesong) di dalamnya.” [Surah al-Kahfi: 1]
Al-Quran menegaskan bahawa setiap rasul memulakan perjuangan mengislamkan kaum bangsanya, sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بَِٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥
“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang-benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4-5]
Para rasul itu dipilih oleh Allah secara langsung untuk memimpin manusia. Perkara ini ditafsirkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.
“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu dipimpin oleh para nabi (pilihan Allah). Apabila seseorang nabi wafat, diganti pula oleh nabi selepasnya. Tidak ada lagi nabi selepas aku (wafat), tetapi dilantik para khulafa’ (pemimpin yang dipilih sendiri oleh manusia) dan jumlah mereka ramai.”
قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.
Para sahabat bertanya, “Apakah perintahmu (pesananmu) kepada kami?” Baginda bersabda, “Tunaikanlah baiah (janji taat setia) kepada yang pertama dan diikuti selepasnya. Tunaikanlah hak terhadap mereka. (Pohonlah kepada Allah perkara yang menjadi hak kalian). Sesungguhnya Allah akan menyoal mereka pada hari Kiamat nanti berkenaan hak kalian yang wajib mereka tunaikan.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, no. 3455, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1842, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Bukhari]
Walaupun Islam merupakan petunjuk kepada seluruh manusia, setiap rasul memulakan perjuangannya daripada kaum bangsanya sendiri yang kemudiannya turut mendukung perjuangannya.
Rasulullah SAW memulakan perjuangan menyatupadukan bangsa Arab dengan petunjuk Islam yang tidak memisahkan politik daripada dakwah. Allah mengingatkan kejayaan Baginda menyatukan masyarakat Arab yang paling berpecah-belah melalui firman-Nya:
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣
“Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]
Ketika wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat mengadakan mesyuarat untuk memilih khalifah (pemimpin) bagi menggantikan Baginda dengan dikemukakan tiga calon:
1. Kalangan Ansar (berasal dari Madinah) mencalonkan Sa‘ad bin ‘Ubadah RA yang merupakan pemimpin mereka.
2. ‘Abbas , al-Zubair, Talhah dan beberapa orang lagi mencalonkan ‘Ali bin Abi Talib KW daripada kalangan Ahli al-Bait (keluarga Rasulullah SAW).
3. Kalangan Muhajirin pula mencalonkan Abu Bakar al-Siddiq RA.
Akhirnya, Abu Bakar al-Siddiq RA dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah SAW setelah mereka mendengar hujah daripada kalangan Muhajirin yang bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW:
الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْكُمْ حَقًّا، وَلَكُمْ عَلَيْهِمْ حَقًّا مِثْلَ ذَلِكَ، مَا إِنْ اسْتُرْحِمُوا فَرَحِمُوا، وَإِنْ عَاهَدُوا وَفَوْا، وَإِنْ حَكَمُوا عَدَلُوا، فَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ مِنْهُمْ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ، وَالْمَلَائِكَةِ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ.
“Pemimpin itu mestilah daripada kalangan Quraisy. Sesungguhnya, mereka mempunyai hak yang wajib kamu tunaikan, dan kamu juga mempunyai hak yang wajib mereka tunaikan dengan kadar yang sama. Apabila mereka diminta mengasihi, mereka mengasihi. Apabila mereka membuat perjanjian, mereka menunaikannya. Dan apabila mereka menghukum, mereka hendaklah berlaku adil. Sesiapa antara mereka yang tidak melaksanakan perkara tersebut, mereka akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan seluruh manusia.” [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Qada’, no. 5909 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 12307, daripada Anas bin Malik]
Pada zaman mutakhir selepas Khulafa’ al-Rasyidin, ia bertukar menjadi mazhab fiqh politik Islam setelah para ulama’ bersepakat tentang kewajipan pemimpin daripada kalangan orang Islam dan berbeza pendapat dari segi bangsanya.
Pendapat Ansar kemudiannya menjadi pegangan golongan Khawarij yang tidak menentukan bangsa pemimpin. Pendapat kedua pula menjadi pegangan mazhab Syiah yang menentukan bahawa pemimpin mestilah daripada keluarga Rasulullah SAW. Manakala, pendapat Muhajirin daripada kalangan Quraisy menjadi pegangan mazhab Sunni.
Pemimpin dipilih daripada kaum yang paling berpengaruh. Hal ini berdalilkan firman Allah SWT:
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang bakhil, dan siapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Tuhan Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Dan firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3)” [Surah al-Jumu‘ah: 2–3]
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah mata rantai kesinambungan perjuangan untuk melaksanakan petunjuk Allah kepada manusia selepas tiada lagi para rasul, setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW.
PAS berpegang kepada mazhab Sunni bahawa pemimpin bagi negara Malaysia hendaklah daripada kalangan Melayu Islam. PAS menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berpegang kepada prinsip sekular, iaitu memisahkan politik daripada agama, dan gagasan Malaysian Malaysia tanpa rupa bangsa.
Fahaman sekular berkonsepkan pemisahan politik daripada aqidah atau iman, menjadikan politik tidak mempunyai roh dan hanya berpandukan akal manusia semata-mata tanpa berpaksikan aqidah, khususnya keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Fahaman ini dilihat gagal dalam memimpin masyarakat majmuk serta menangani salah laku seperti rasuah dan lain-lain.
Tanpa menetapkan rupa bangsa yang bersifat luar tabii, ketetapan Allah akan dilihat bercanggah dengan fitrah manusia.
Sehubungan dengan itu, pemimpin hendaklah daripada kalangan Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dan mempunyai pengaruh yang kuat untuk menjamin keadilan kepada semua. Hal ini demikian kerana mereka tidak bersikap fanatik terhadap perkauman seperti sesetengah bangsa lain dalam masyarakat majmuk, walaupun tidak mempunyai kuasa politik.
Sikap ini dapat disaksikan dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Betapa kuatnya pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu dapat dilihat apabila seseorang yang memeluk Islam dianggap menjadi Melayu, manakala apabila seseorang itu murtad, dia tidak lagi dianggap sebagai Melayu.
Konsep keadilan untuk seluruh manusia merupakan perintah Allah. Pemimpin yang mendapat sokongan kuat daripada kaumnya diwajibkan menegakkan keadilan apabila berkuasa. Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanat kepada yang berhak dan layak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [58] Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amr antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]
Ayat ini mengaitkan kewajipan politik dengan aqidah, iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Seterusnya, firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Berdasarkan ayat ini, Allah menyatakan bahawa kewajipan berlaku adil turut merangkumi keadilan terhadap musuh ketika berperang. Maka, lebih utama ia dilaksanakan terhadap rakyat dalam sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
Firman Allah SWT:
۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih mengetahui kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Maka, tidak sepatutnya wujud pentadbiran dan kehakiman terpilih (pendakwaan terpilih) seperti yang disaksikan pada hari ini, sehingga berlaku diskriminasi dalam politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Muhasabah bukan sahaja berlaku di dunia terhadap rakyat yang boleh ditipu dan dipaksa, khususnya dalam setiap kali pilihan raya. Bahkan, perlu diimani bahawa muhasabah berlangsung juga selepas mati hingga Hari Akhirat. Firman Allah SWT:
يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢
“(Ingatlah) suatu hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap umat manusia dengan pemimpin mereka; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak akan dianiayai sedikit pun. (71) Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga akan buta di akhirat dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 71-72]
PAS mewajibkan al-Quran dan Sunnah dijadikan petunjuk dalam semua perkara, bukannya teori ahli falsafah yang berpandukan akal semata-mata. Maka, dimulakan perpaduan dengan perpaduan umat Islam berpandukan firman Allah SWT:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠
“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” [Surah al-Hujurat: 10]
Oleh itu, PAS mendahulukan perpaduan Melayu Islam yang menjadi tonggak kuasa yang mempunyai pengaruh terkuat. Kemudian, bersama-sama manusia daripada pelbagai bangsa yang merupakan satu keluarga besar, yang berasal daripada Adam dan Hawwa’. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Manusia bermasyarakat majmuk madani yang berkonsepkan taqwa, mereka tidak mudah hanyut dengan fahaman liberal dan progresif sehingga tersungkur melampaui batas. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
PAS menetapkan aqidah Islamiah dalam perlembagaannya. Bahkan, Islam ialah agama tertinggi dalam perlembagaan negara, yang ditafsirkan berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang banyak serta sunnah amaliah (praktikal) Rasulullah SAW.
Para pemimpin yang dicalonkan wajib berbaiah dan bersumpah dengan nama Allah untuk mematuhi kewajipan tersebut, sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 1 Oktober 2026
[Bil: 64 / 2026]




























