PERANTAU Seru Kutipan Tol LPT2 Ditangguhkan

2012

PERANTAU melahirkan rasa kesal serta kebimbangan dengan keputusan kerajaan negeri merestui kerajaan pusat untuk melaksanakan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang akan bermula pada 15hb Julai 2016.

Keputusan ini sudah tentu akan membebankan pengguna lebuhraya disamping memberi tekanan kepada kenaikan harga barang akibat peningkatan kos pengangkutan, terutamanya kepada rakyat Terengganu.

Lebih sedekad lamanya kita dijanjikan lebuhraya setelah negeri-negeri semenanjung lain berpeluang menikmatinya (kecuali Kelantan). Setelah acap kali tertangguh dengan berbagai masalah pengurusan dan birokrasi hingga memerlukan suntikan dana negeri, LPT2 dibuka sepenuhnya hanya pada awal tahun 2015 dengan berbagai kekurangan. Setelah hanya seketika rakyat dapat mengecapi kelegaan ini, tiba-tiba kutipan tol dikenakan dalam keadaan membebankan rakyat tanpa mengambilkira kualiti perkhidmatan lebuhraya dan sebahagian kos pembinaan yang ditanggung menggunakan duit rakyat Terengganu (dana kerajaan Negeri Terengganu).

PERANTAU melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan tergesa-gesa ini. Di mana logiknya bilamana hampir keseluruhan pembiayaan LPT2 ditanggung kerajaan Terengganu melalui Dana Khas, tiba-tiba pihak lain pula diberi hak mengutip tol? Status penjanjian menjadi rahsia dengan tempoh konsesi serta perincian pengagihan kutipan tidak didedahkan, sementara tuntutan hutang RM1.8 billion masih menjadi tanda-tanya. Lebih memeritkan lagi apabila lebuhraya Pan-Borneo pula beroperasi tanpa sebarang kutipan tol kepada pengguna.

Bukan sahaja lebuhraya ini ditanggung dengan dana rakyat Terengganu secara hakikatnya, bahkan kadar 12sen/km (untuk kereta) adalah antara tertinggi di negara ini. (rujuk Kenyataan Media Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)).

Bahkan kemudahan di kompleks persinggahan Rehat & Rawat adalah tidak sempurna, kebanyakan gerai masih belum beroperasi, tiada stesen minyak lengkap/kekal, kualiti permukaan jalan yang teruk, tanpa tanda arah/keselamatan dan lampu jalan yang secukupnya menunjukkan bahawa lebuhraya ini belum bersedia sepenuhnya untuk perkhidmatan kepada orang ramai, maka sayuguianya bebanan bayaran tol tidak patut dikenakan sekurang-kurangnya buat tempoh tertentu.

PERANTAU menyeru Kerajaan Terengganu bertegas dengan menjaga hak rakyat sendiri. Maka PERANTAU mendesak dan menuntut agar;
1. Kutipan tol ditangguhkan sehingga kualiti lebuhraya ditingkatkan, dan semua kemudahan lain disediakan secara secukupnya
2. Apabila semua perkhidmatan lebuhraya disediakan dengan memuaskan, kadar tol yang bakal dikenakan mestilah pada kadar yang minima mengambilkira sebahagian besar tanggungan pembinaan lebuhraya adalah dari dana rakyat Terengganu sendiri yang mana hutang sebanyak RM1.8 bilion tersebut masih tertunggak.

Kerajaan Negeri Terengganu diminta supaya lebih perihatin dalam mempertahankan kepentingan dan kebajikan rakyat Terengganu. Rundingankanlah dengan pihak kerajaan Pusat dan pihak–pihak lain dengan mengutamakan kepentingan rakyat sendiri, bukan kepentingan-kepentingan lain.

Shuhaimi Embong
Naib Presiden PERANTAU