Iftiraq (perpecahan) ialah apabila nyata diketahui dua pandangan yang berbeza antara benar dengan salah, tiba-tiba ada yang mempertahankan yang salah kerana kedegilan sehingga dalam perkara rukun dan dasar al-din (Islam dan iman), begitu juga dalam perkara ketentuan nas yang nyata daripada al-Quran dan hadis atau ijmak (sepakat para ulama’ muktabar mujtahid). Perpecahan ialah sifat keji yang diharamkan kerana merosakkan perpaduan umat yang diwajibkan, bahkan ia menjadi perangai Ahli Kitab yang dilaknat dan dimurkai Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ ٤
“Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.” [Surah al-Bayyinah: 4]
Umat Islam wajib mengambil iktibar, walaupun daripada kesesatan kaum yang lain supaya tidak menjadi seperti mereka.
Adapun ikhtilaf pula ialah perbezaan pendapat dalam perkara cabang yang bukan rukun agama, disebabkan berbeza pendapat dalam dasar yang umum, perkataan yang mempunyai perbezaan pentafsiran, atau berbeza keadaan dan tempat. Semua pihak saling menghormati antara satu dengan yang lain, terus bersaudara tanpa putus hubungan persaudaraan, dan terus belajar serta mengajar antara satu sama lain walaupun berbeza pendapat. Ikhtilaf disebut oleh firman Allah SWT:
وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ ١١٨
“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.” [Surah Hud: 118]
Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.
“Apabila seseorang hakim (yang berilmu dan bertafaqquh) berijtihad dalam perkara berbeza (kefahaman dan pentafsiran), lalu pendapatnya betul, maka baginya dua pahala, dan jika ijtihadnya salah, maka baginya satu pahala.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-I‘tisam bi al-Kitab wa al-Sunnah, no. 7352 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, no. 1716, daripada ‘Amr bin al-‘As]
Banyak pelajaran dan perkembangan ilmu dalam perkara ikhtilaf. Para ulama’ mencatat semua pendapat yang berbeza itu. Kadang-kadang sesuatu pendapat itu dipakai apabila berlaku perubahan situasi dan realiti atau dijumpai pentafsirannya, kadang-kadang kedua-dua pendapat dipakai kerana keadaan yang berbeza. Ada juga yang dijumpai mana pendapat yang sebenarnya betul, maka dibatalkan pendapat yang salah.
Perkara khilaf juga boleh menyebabkan perpecahan yang diharamkan apabila ada yang fanatik (taasub) kepada pendapatnya seperti menjadikan pendapat satu-satu mazhab sebagai agama, kemudian menghukum yang bukan mazhabnya adalah salah, sesat, atau keluar daripada Islam, ataupun terus berpegang pada pendapat yang salah setelah diketahui kenyataannya.
Hal ini sebagaimana ayat yang dinasakhkan (dibatalkan hukumnya) oleh wahyu lain yang turun selepasnya seperti firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقۡرَبُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمۡ سُكَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُواْ مَا تَقُولُونَ … ٤٣
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan…!” [Surah al-Nisa’: 43]
Pada awal Islam, minum arak adalah dibolehkan sebelum sembahyang atau selepasnya, namun ayat ini dinasakhkan hukumnya apabila diwahyukan selepasnya firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٩٠
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan panah termasuk perbuatan syaitan! Maka, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” [Surah al-Ma’idah: 90]
Perkara ini termasuk dalam ulum al-Quran untuk bertafaqquh dalam urusan agama. Begitu juga dalam ilmu hadis.
Perkara khilaf juga boleh menyebabkan perpecahan yang diharamkan apabila ada kalangan yang fanatik (taasub) kepada pendapatnya. Firman Allah SWT:
وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.” [Surah Ali ‘Imran: 105]
Pada masa Rasulullah SAW masih hidup bersama para sahabatnya, masalah perbezaan pendapat umat Islam terpelihara daripada perpecahan dan masalah khilaf dapat diselesaikan kerana dibetulkan oleh al-Quran yang diwahyukan dan Hikmah Rasulullah SAW yang dikawal oleh wahyu. Perkara ini termasuk dalam ilmu sebab nuzul al-Quran (asbab al-nuzul) dan sebab berlakunya hadis (asbab al-wurud). Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya) serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Al-Quran dan Hikmah Rasulullah SAW (Sunnah) ialah keputusan mutlak, sementara ulu al-amr ialah para ulama’ dan pemimpin yang umat berada di bawah kawalannya.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, berlaku kekhilafan dalam pelantikan khalifah (ketua negara). Para sahabat sangat mematuhi al-Quran dan Sunnah dalam masalah yang berbeza pendapat, namun mereka bersatu kepada al-Quran dan Sunnah. Mereka berkhilaf dalam perkara yang diizinkan berijtihad, namun mereka saling menghormati antara satu sama lain.
Pada zaman Khalifah ‘Uthman RA, ramai saudara Islam yang baru memeluk Islam sehingga umat Islam berpecah dalam jenayah pembunuhan Khalifah ‘Uthman RA kepada mazhab Sunni, Ahli al-Bait (Syiah), dan Khawarij.
Ahli al-Bait dan jumhur (majoriti Sunni) menerima ‘Ali KW sebagai khalifah yang sah dan dibilang sebagai Khulafa’ al-Rashidin, manakala mereka yang menentangnya ialah bughah berpandukan firman Allah SWT:
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٩ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠
“Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang, maka hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya! Akan tetapi, kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, maka hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali kepada perintah Allah. Kalau dia telah surut, maka damaikanlah antara kedua-duanya menurut keadilan dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil. (9) Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, oleh sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu, dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat. (10)” [Surah al-Hujurat: 9–10]
Umat Islam bersama Khalifah ‘Ali KW, termasuk mereka yang melampau dan menderhaka yang dianggap bughah dengan alasan membela Khalifah ‘Uthman yang dibunuh turut mengakui ‘Ali KW ialah khalifah yang sah, melainkan golongan Khawarij bilamana ramai yang terlibat dengan pembunuhan Khalifah ‘Uthman RA. Mereka menolak ‘Ali KW, bahkan sebahagian mereka menolak Khulafa’ al-Rashidin sehingga ada yang mengkafirkan para sahabat RA kerana terlalu jahil dalam hukum Islam atau tidak bertafaqquh, walaupun kuat beribadat dan membaca al-Quran.
Amir al-Mu’minin ‘Ali KW menghantar ‘Abdullah bin ‘Abbas RA untuk memujuk dan berdebat dengan kumpulan Khawarij, malah ‘Ali KW sendiri menemui mereka. Maka, sebahagian daripada mereka kembali ke pangkal jalan, namun sebahagian lagi terus berdegil.
سُئِلَ عَلِيٌّ عَنْ أَهْلِ النَّهْرَوَانِ: أَمُشْرِكُونَ هُمْ؟
Imam ‘Ali KW ditanya berkenaan penduduk Nahrawan (pengikut Khawarij), “Adakah mereka Musyrik (menjadi kafir)?”
فَقَالَ: مِنَ الشِّرْكِ فَرُّوا.
‘Ali menjawab, “Tidak, mereka melarikan diri daripada kesyirikan (mereka masih bersyahadah).”
قِيلَ: أَفَمُنَافِقُونَ؟
Beliau ditanya lagi, “Adakah mereka munafiq?”
قَالَ: إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا.
‘Ali menjawab, “Tidak, golongan munafiq tidak mengingati Allah kecuali sedikit (mereka kuat bersolat dan berzikir).”
فَقِيلَ: فَمَا هُمْ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ؟
Beliau ditanya lagi, “Maka, siapakah mereka, wahai Amir al-Mu’minin?”
قَالَ: إِخْوَانُنَا بَغَوْا عَلَيْنَا فَقَاتَلْنَاهُمْ بِبَغْيِهِمْ عَلَيْنَا.
‘Ali menjawab, “Mereka ialah saudara seagama kita yang melampau terhadap kita (melawan kita). Kalau mereka berundur, biarkan. Kalau mereka mengangkat senjata untuk menyerang, perangi mereka.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, hlm. 289]
Demikianlah jawapan yang berhati-hati terhadap golongan yang dianggap jahil agama serta tidak bertafaqquh dalam perkara al-din (Islam) yang wajib diselamatkan daripada tenggelam dalam kejahilan. Perkara ini merupakan masalah dalaman umat Islam yang mesti diselesaikan secara ilmu bagi menyelamatkan mereka yang lemas dalam kejahilan.
Apa yang wajib dijadikan pengajaran juga ialah sikap para imam semua mazhab yang masih bersaudara seagama yang bertolong-menolong dalam perkara yang mampu berijtihad, di samping mewariskan kitab-kitab yang dikarang dan diriwayatkan ijtihad mereka dalam kitab-kitab tafsir, hadis, dan fiqh yang luas perbincangannya.
Para ulama’ perbandingan mazhab menetapkan lapan mazhab besar yang ramai pengikut serta dianggap bertafaqquh, mengikut kajian Majma‘ Buhuth al-Islamiyyah Universiti Al-Azhar dan Majma‘ Taqrib bayn al-Mazahib yang ditubuhkan oleh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ‘Abduh dan Mahmud Shaltut (kedua-duanya ialah mantan Syeikh Al-Azhar), serta Hasan al-Banna RH, kini diurus oleh Kerajaan Republik Islam Iran dan disahkan oleh muktamar para ulama’ di Makkah dan Amman bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Lapan mazhab itu ialah daripada Sunni: Mazhab Hanafi, Maliki, Shafi‘i, Hanbali, dan Zahiri; daripada Syiah pula Mazhab Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah dan Zaidiyyah; serta mazhab Ibadi yang dituduh sebagai Khawarij sederhana, namun mereka menafikannya. Mereka dilabelkan Khawarij kerana tidak mentaati beberapa orang khalifah Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah yang zalim.
Di samping itu, terdapat mazhab para ulama’ sahabat dan tabiin serta beberapa orang ulama’ mazhab yang bertaraf mujtahid dalam semua mazhab tersebut, bilamana pandangan mereka dicatat dalam kitab-kitab perbandingan mazhab. Walau tidak ramai pengikut, tetap dihormati kemampuan ilmu mereka.
Kesemua mereka ialah pewaris ilmu para anbiya’ yang menjaga amanah ilmu dengan peribadi yang tinggi dan berjuang menegakkan Islam pada zaman masing-masing. Mereka ialah kalangan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.
“Sesiapa yang memudahkan jalan kepada menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkannya jalan ke Syurga. Sesungguhnya para malaikat merendahkan sayapnya kepada penuntut ilmu kerana reda dengan kegiatan mereka. Seseorang yang berilmu itu dimohonkan ampunan untuknya oleh makhluk di langit dan bumi, termasuk ikan di air. Kelebihan seseorang yang berilmu melebihi ahli ibadat laksana bulan purnama dalam kalangan bintang cakerawala. Sesungguhnya para ulama’ itu pewaris pusaka para anbiya’. Mereka tidak meninggalkan pusaka wang emas dan perak (harta yang mahal nilai harganya), tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu. Sesiapa yang berhak menerimanya, nescaya dia paling bernasib baik (paling banyak harta pusakanya).” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, no. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, no. 2682 dan lain-lain, daripada Abu al-Darda’. Lafaz bagi Abu Dawud]
Para ulama’ ialah mereka yang menerima ilmu para anbiya’, meneruskan amalan, dan berjuang berdakwah serta menegakkan kedaulatan kuasa Islam yang memerintah urusan negara.
Para ulama’ mazhab muktabar yang disebut di atas melaksanakan perjuangan para anbiya’. Ada yang menjadi pemimpin negara dan ada yang menjadi mangsa kezaliman kerana perjuangan Islam yang bersifat al-din yang sempurna bersama amar ma‘ruf dan nahi mungkar.
Para ulama’ daripada semua mazhab di atas dicatat ilmu mereka dalam semua kitab agama, walaupun ijtihad mereka tidak dipakai.
Mereka bersaudara dalam berkhilaf. Imam Abu Hanifah daripada Sunni menjadi murid kepada Imam Ja‘far daripada Syiah sehingga beliau mati di dalam penjara kerana mempertahankannya. Selain itu, Imam al-Shafi‘i menjadi murid kepada Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal menjadi murid kepada Imam Shafi‘i, dan begitulah seterusnya.
Di samping itu, Imam al-San‘ani RH daripada Syiah Zaidiyyah mengarang kitab Subul al-Salam, syarah kepada kitab hadis Bulugh al-Maram yang dikarang oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani RH daripada Sunni Shafi‘i, dan begitulah lain-lain kitab. Ada yang aqidahnya bermazhab Salaf, tetapi fiqhnya berbeza, dan ada pula yang bermazhab Khalaf dari segi aqidah, tetapi berbeza mazhab fiqhnya dan tariqat tasawufnya. Mereka semua bertafaqquh dalam ilmu al-din yang disebut oleh firman Allah SWT:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Tidak sepatutnya bagi Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya kaum itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]
Menjadi masalah pada akhir zaman apabila ramainya ulama’ yang tidak bertafaqquh, bahkan tidak menguasai bahasa Arab (bahasa al-Quran) di Alam Melayu, hanya belajar agama dalam bahasa Melayu sahaja.
‘Abdullah bin Mas‘ud RA berkata:
إِذَا كَثُرَتْ قُرَّاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ فُقَهَاؤُكُمْ.
“Pada akhir zaman, ramai huffaz dan qurra’ al-Quran, tetapi sedikit ulama’ yang bertafaqquh serta memahami al-Quran.” [Riwayat al-Darimi, Musnad al-Darimi, al-Muqaddimah, no. 191, al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8570, dan lain-lain]
Ulama’ yang tidak bertafaqquh mudah dilantik dan diberikan tauliah mengajar, berceramah, berforum, dan berkhutbah bagi memecahbelahkan umat Islam dengan masalah khilafiah supaya dibincangkan dalam kalangan yang tidak layak, hanya kuat beragama dari segi peribadinya sahaja.
Sabda Rasulullah SAW:
سَيَخْرُجُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ أَحْدَاثُ الْأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الْأَحْلَامِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ، يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
“Muncul pada akhir zaman golongan laksana kanak-kanak yang baru bergigi, berimpian bodoh, petah bercakap, boleh membaca al-Quran sekadar di kerongkong (tidak masuk dalam hati mereka), mudah keluar daripada agama lebih cepat daripada panah mengenai sasarannya. Kalau berjumpa mereka, maka lawanlah mereka habis-habisan, nescaya mendapat pahala besar di sisi Allah pada Hari Kiamat (kerana menyelamatkan manusia daripada kesesatan).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Istitabah al-Murtaddin wa al-Mu‘anidin wa Qitalihim, no. 6930 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, no. 1066, daripada ‘Ali bin ‘Abi Talib]
Ada yang melampau ekstrem dan ada yang liberal hanyut.
Lebih menjadi bencana ialah para ulama’ yang mengkhianati pusaka para anbiya’ yang disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.” [Surah al-Baqarah: 159]
Mereka yang menyembunyikan ilmu mereka, firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَفِي شِقَاقِۢ بَعِيدٖ ١٧٦
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perut mereka melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat serta tidak menyucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksaan dengan ampunan. Maka, alangkah beraninya mereka menentang Api Neraka! (175) Yang demikian itu kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran; dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran). (176)” [Surah al-Baqarah: 174–176]
Mereka yang mencari kesenangan hidup menyalahgunakan agama, firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧ مَن يَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِيۖ وَمَن يُضۡلِلۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ١٧٨
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177) Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi. (178)” [Surah al-A‘raf: 175–178]
Paling berbahaya, mereka memainkan peranan sebagai khadam dalam menentang gerakan rakyat yang menentang penjajahan, bahkan mereka berperanan meneruskan peranan penjajah dengan meneruskan pengaruhnya bersama para pemimpin negara yang menjadi khadam penjajah selepas kemerdekaan. Politik, ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan dirancang dengan berkiblat kepada kuasa penjajah, walaupun ibadat haji dan solat mereka ke arah Makkah.
Sehinggakan mempertahankan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab kerana keamanan ekonomi antarabangsa, khususnya Israel dan negara pendukungnya lebih penting daripada menentang Yahudi yang menakluki Bait al-Maqdis sehingga mengecewakan saudara di Palestin, malah kumpulan yang membantu Palestin diceroboh habis-habisan dengan segala senjata.
Para ulama’ pengampu kerajaan yang salah mewajibkan ketaatan kepada ulu al-amr yang sesat. Mereka meletakkan keutamaan ekonomi, harta, dan takhta sehingga meninggalkan jihad mempertahankan Islam yang tidak ada khilaf semua mazhab kerana ketetapan nas al-Quran:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Mereka menyalahtafsirkan maksud ulu al-amr kepada semua kerajaan, termasuk penjajah dan alat penjajah dengan berwala’ kepada musuh-musuh Islam.
Wajib dibezakan antara perpaduan yang diwajibkan dan yang diharamkan dengan perbezaan pendapat yang diharuskan dalam ajaran Islam.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 6 Oktober 2026
[Bil: 65 / 2026]


























