150 Sukarelawan Khidmat Malaysia Siap Siaga Hadapi Banjir Di Hulu Besut

3

KUALA TERENGGANU – Lebih 150 sukarelawan Khidmat Malaysia digerakkan bagi membantu operasi menghadapi banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, termasuk kerja pemindahan mangsa dan bantuan pascabanjir.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Hulu Besut, Cikgu Solahudin Jaafar berkata, persiapan menghadapi banjir dilaksanakan seperti tahun-tahun sebelumnya menerusi kerja pembersihan parit dan pemeriksaan kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Seperti tahun-tahun sebelum ini persiapan menghadapi banjir sedang dibuat.

“Parit-parit dicuci dan pusat pemindahan di selia supaya bersih, elektrik berfungsi dan bekalan air bersih berfungsi.

“InsyaAllah sukarelawan Khidmat Malaysia juga membuat persiapan bagi membantu agensi kerajaan semasa dan selepas berlaku banjir,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Gotong royong membersih sekitar masjid Kg Telaga Nibong Pusat Pemindahan banjir

Menurutnya, Khidmat Malaysia turut membantu operasi pemindahan mangsa bersama agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan bomba.

“Selain itu, turut membantu menguruskan keperluan di pusat-pusat pemindahan,” ujarnya.

Beliau berkata, khidmat sukarelawan turut diteruskan selepas banjir, khususnya bagi membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas, terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan.

“Khidmat selepas banjir biasanya membantu mencuci rumah terutama rumah warga emas dan oku,” tambah Cikgu Solah.

Persiapan awal itu diharap dapat memastikan bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih teratur, sekali gus meringankan beban penduduk yang terjejas.