KUALA TERENGGANU – Ameerah akan diperkasa sebagai sayap wanita muda yang lebih berdikari dengan diberikan ruang, kepercayaan dan kebebasan untuk bergerak secara kreatif dalam mendekati serta mendapatkan sokongan golongan muda.
Timbalan Ketua Ameerah II Malaysia, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam usaha tersebut ialah mengurangkan birokrasi yang boleh melambatkan gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, Ameerah perlu diberikan kepercayaan untuk meneroka pendekatan baharu dan lebih kreatif dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan generasi muda masa kini.
“Ameerah perlu diperkasakan dari segi mengurangkan birokrasi dalam gerak kerja serta diberi kepercayaan untuk lebih kreatif menggerakkan usaha bagi mendapatkan sokongan golongan muda,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas awal terhadap usul PAS Kawasan Parit dan PAS Kawasan Bangi yang telah diterima tanpa Bahas pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72, minggu lalu.
Ustazah Sumaiyah menegaskan, Ameerah tidak seharusnya dilihat hanya sebagai sebuah lajnah atau entiti kecil, sebaliknya perlu diberikan pengiktirafan sebagai sayap wanita muda yang mampu berdikari dan memainkan peranan lebih strategik.
Namun begitu, katanya, usaha pemerkasaan tersebut perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan kesepakatan semua pemegang taruh termasuk Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dan PAS Pusat.
Menurut beliau, perkara itu penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil mengambil kira aspek kesatuan serta hubungan erat antara Ameerah dan Dewan Muslimat.
“Perbincangan antara semua pemegang taruh antaranya DMPM dan PAS Pusat perlu dibuat agar usaha pemerkasaan ini mengambil kira aspek kesatuan antara Ameerah dan Dewan Muslimat,” katanya.
Tegasnya, usaha memperkasakan Ameerah sangat penting bagi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muslimat muda untuk tampil sebagai pelapis kepimpinan serta memainkan peranan aktif dalam membawa aspirasi generasi muda.




























