KUALA TERENGGANU – Cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya tidak diperlukan pada ketika ini kerana keadaan negara berada dalam situasi yang stabil dan tidak mendesak seperti ketika pandemik COVID-19.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan semasa tidak menunjukkan sebarang keperluan untuk langkah luar biasa seperti pengisytiharan darurat, memandangkan aktiviti masyarakat dan pergerakan rakyat berjalan seperti biasa.
Beliau menjelaskan, situasi ketika ini amat berbeza berbanding zaman COVID-19 yang menyaksikan sekatan pergerakan dan pembatasan aktiviti berkumpulan secara ketat.
“Jadi pada saya tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat supaya ditangguhkan pilihan raya.
Jadi buat masa ini saya rasa tidak ada keperluan pada saya lah,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu, di Dataran Shah Bandar, semalam
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan situasi pada masa hadapan yang boleh memerlukan pertimbangan semula, namun menegaskan buat masa ini keadaan masih terkawal.
“Wallahuaklam, mungkin sebulan, dua-tiga bulan akan datang suasana berbeza kita tak tahu tapi buat masa ini tidak ada keperluan pada sayalah,” tambah beliau.





























