KUALA TERENGGANU – Setiap Muslimat perlu sentiasa menuntut ilmu, berusaha memperbaiki diri serta melaksanakan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam kehidupan bermasyarakat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, usaha membudayakan ilmu dan memperkukuh amalan amar makruf nahi mungkar perlu menjadi keutamaan setiap individu, khususnya mereka yang memikul amanah dalam organisasi dan masyarakat.
“Tanggungjawab tersebut bukan sekadar terletak pada kepimpinan, malah perlu digerakkan oleh setiap anggota melalui tindakan yang berterusan dan bersungguh-sungguh.
“Namun, ramai yang masih gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Marang berkata demikian dalam pertemuan dalam satu kunjung hormat dan sesi Taujihat Tarbawi serta Ziarah Mahabbah AJK Ameerah Selangor ke sini, pada 18 Oktober.
To’ Puan Zarani turut mengingatkan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan tanpa memilih tugas atau memandang kecil sesuatu pekerjaan, sebaliknya semua usaha perlu digerakkan bermula daripada perkara sekecil-kecilnya sehingga kepada tanggungjawab yang lebih besar


Katanya, kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung pada kepimpinan di peringkat tertinggi, tetapi turut ditentukan oleh kesungguhan setiap individu dalam melaksanakan peranan masing-masing.
Dalam pada itu, To’ Puan Zarani menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga negara bukan hanya terletak di bahu pemimpin, sebaliknya menjadi amanah bersama seluruh rakyat.
Menurut beliau, kesedaran terhadap tanggungjawab tersebut perlu dipupuk agar masyarakat sentiasa mengambil berat tentang masa depan negara, kesejahteraan rakyat serta kepentingan memelihara nilai-nilai kebaikan dalam kehidupan.
Beliau turut menekankan bahawa golongan muda merupakan aset yang sangat penting kepada negara dan perlu diberikan perhatian sewajarnya agar mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang berilmu, berakhlak serta mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab agama dan masyarakat.
” Golongan muda tidak boleh dipandang sekadar sebagai pewaris masa depan, bahkan mereka perlu dibimbing dan diberikan ruang untuk memainkan peranan secara aktif dalam membangunkan masyarakat serta mempertahankan kesejahteraan negara,” ujarnya.





























