Oleh: Fatimah Din. Foto: Hafiz
MARANG – Komitmen berterusan setiap ahli dalam menjayakan program parti dan kerajaan negeri menjadi antara kunci utama memperkukuh gerak kerja organisasi.
Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata kekuatan sesebuah organisasi bergantung pada kesungguhan ahli melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
“Selain kesediaan untuk bekerjasama dan saling membantu bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan, sekali gus memastikan amanah perjuangan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan istiqamah,” jelasnya.
Ketua Penerangan, Dewan Ulama PAS Pusat itu, berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Unit Tubuh Politik Parlimen Marang yang berlangsung di Dewan Sivik Bukit Payong pada 21 Oktober lalu.


Menurutnya, kesabaran merupakan elemen penting dalam melaksanakan tugasan, khususnya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tuntutan kerja di pejabat.
“Budaya berbincang dan bermesyuarat perlu terus diperkasakan dalam kalangan ahli bagi memastikan penyelarasan gerak kerja berjalan lancar, teratur dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengajak ahli mengambil iktibar daripada pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup menghadapi kesusahan dan berjuang tanpa mengharapkan ganjaran berbentuk gaji demi memastikan kelangsungan perjuangan parti.
“Pengorbanan tersebut, katanya, wajar dijadikan inspirasi kepada generasi hari ini agar terus menghargai perjuangan yang telah dibina serta melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab,” katanya.































