Oleh: Fatimah Din
MARANG – Halaqah Serikandi Muda DUN Rhu Rendang telah berjaya menghimpunkan 40 peserta dari kalangan anak muda untuk memperteguhkan semangat istiqomah dalam mengharungi perjuangan yang panjang.
Pengarah Program, Nurul Shazwani Mohd Saad berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk menimba ilmu, merapatkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat istiqamah dalam kehidupan seharian.
“Platform untuk membina hubungan lebih erat sesama peserta, di samping menyuburkan semangat kebersamaan dan memperkukuh jati diri sebagai wanita yang berilmu serta berjiwa perjuangan, ” ujarnya yang ditemui selepas program.
Program itu berlangsung selama dua hari di Villa UmiAbi, Kampung Sentol Patah di sini, selamat dua hari 15 dan 16 Oktober.
Beliau berharap agar pertemuan ini bukan sekadar menjadi kenangan, tetapi turut memberi manfaat dalam membina hubungan yang lebih erat serta menyuntik semangat untuk terus istiqamah.


“Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan interaktif telah dilaksanakan.
“Termasuk sesi usrah, persembahan lakonan dan pembentangan kumpulan yang memberi ruang kepada peserta berkongsi idea, menyerlahkan kreativiti serta meningkatkan keyakinan diri,” katanya.
Selain itu, katanya, permainan ibu dan anak serta aktiviti kanak-kanak yang mengeratkan hubungan kekeluargaan, selain aktiviti mandi-manda di kolam renang yang memberikan peluang kepada peserta menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat seperjuangan.
“Semoga program sebegini menjadi pemangkin kepada pembinaan serikandi muda yang bukan sahaja mempunyai hubungan ukhuwah yang kukuh, malah berpegang teguh kepada prinsip Islam dan sentiasa bersedia menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya.






























