PN Teliti Permohonan Parti Baharu, Keputusan Awal Mei

26

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima beberapa permohonan daripada parti-parti politik yang berminat untuk menyertai gabungan tersebut, termasuk parti yang telah menyatakan minat secara terbuka sebelum ini.

Pengerusi PN, Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya kini dalam proses menilai setiap permohonan dengan mendapatkan maklumat terperinci daripada parti-parti berkenaan, meliputi jumlah keahlian, struktur organisasi serta susunan jawatankuasa.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat secara teliti dan adil sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

“Kita boleh buat pertimbangan yang sewajarnya apabila kita bincang dalam mesyuarat Perikatan Nasional, Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional yang akan datang.

“Jadi insya-Allah dalam mesyuarat pimpinan tertinggi yang akan datang kita akan bincangkan permohonan itu dan saya rasa kalau tidak ada apa-apa insya-Allah kita boleh-boleh terimalah permohonan mereka,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu di Dataran Shah Bandar, semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan itu akan ditentukan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung pada awal Mei depan.

“Kelulusan belum dibuat lagi. Kita akan bincangkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi dan insya-Allah keputusan akan dibuat ketika itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak mendedahkan secara terperinci nama parti yang memohon, bagi mengelakkan sebarang salah faham atau rasa kurang senang sekiranya permohonan tidak diluluskan.

Dalam masa sama, PN berharap semua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dapat bersikap terbuka dan berlapang dada dalam mempertimbangkan penyertaan parti-parti baharu demi memperkukuh gabungan tersebut.

Ditanya mengenai spekulasi melibatkan Datuk Seri Hamzah, beliau berkata pihaknya tidak mengetahui hala tuju politik individu berkenaan dan menyarankan agar perkara itu dirujuk terus kepada beliau sendiri.

“Saya pun tidak tahu apa ke arah mana pergerakan beliau (hamzah) jadi kita… saya rasa lebih baik tanya beliaulah. Tanya dia sendiri,” katanya.