LKUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan rasmi berhubung kewajaran masa keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), yang dibuat hanya dua hari sebelum pendengaran permohonan penangguhan di mahkamah.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, tindakan itu mengundang tanda tanya memandangkan Mahkamah Tinggi telah membenarkan semakan kehakiman dimulakan dan menetapkan 22 Oktober bagi pendengaran penangguhan secara dua pihak (inter partes).
“Apakah keperluan mendesak sehingga pendaftaran PN perlu dibatalkan sebelum pendengaran tersebut? Menyebut peruntukan undang-undang semata-mata belum menjawab mengapa keputusan itu tidak menunggu proses mahkamah yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan, ketetapan masa itu menimbulkan keraguan apabila dibuat serentak dengan rundingan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pihak yang mengemukakan aduan, bersama kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dijangka dimeterai minggu hadapan.
Sehubungan itu, Mohd Harun menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi pencerahan terbuka bagi menjamin institusi negara bebas daripada pengaruh atau persepsi campur tangan politik.
Beliau turut menegaskan sokongan penuh PAS Terengganu terhadap usaha mempertahankan hak PN menerusi saluran perundangan yang sah, di samping menasihati semua pihak agar menghormati kedaulatan undang-undang serta bersaing secara matang di peti undi.





























