Menghayati, Memahami Permasalahan Dan Keperluan Rakyat Di DUN Bukit Katil

2
Ustaz Al-Afiz Yahya

MELAKA – PAS DUN Bukit Katil sentiasa berusaha menghayati, memahami permasalahan dan keperluan rakyat di daerah tersebut.

Penyelia DUN Bukit Katil Ustaz Al-Afiz Yahya berkata, pendekatan itu penting bagi membina kepercayaan masyarakat di samping mendapatkan maklum balas terus daripada pengundi mengenai isu yang dihadapi mereka.

Menurutnya, gerak kerja berkenaan meliputi ziarah pengundi kali pertama (First Time Voter), ikon belia, guru dan asatizah serta Skuad Sihat (ZASS) sebagai usaha mendekati masyarakat daripada pelbagai lapisan.

 

 

 

 

“Melalui ziarahlah, kita dapat kenal pengundi kali pertama, pertemuan ikon belia, guru dan asatizah serta khidmat Skuad Sihat, merupakan pendekatan menyeluruh yang mengutamakan kebajikan rakyat. Direct mendapat maklum balas pengundi.

“Bagi saya, kemenangan bukan sekadar meraih undi, tetapi membina keyakinan rakyat bahawa PAS mampu menawarkan kepimpinan yang amanah, prihatin dan sentiasa bersama masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka,” jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, keberkesanan gerak kerja itu dinilai berdasarkan jumlah pengundi yang disantuni, maklum balas masyarakat, tahap penerimaan terhadap PAS dan perubahan kecenderungan sokongan berdasarkan data culaan yang dikemas kini secara berkala.

Mengulas tawaran PAS di DUN Bukit Katil, beliau berkata parti itu mengetengahkan calon anak tempatan yang dekat dengan masyarakat dan memahami denyut nadi kehidupan penduduk setempat.

“Kami tawarkan calon yang hidup bersama masyarakat Bukit Katil. Dimana ada rakyat, di situ ada kami,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh jentera petugas agar gandakan usaha dan kuatkan munajat dan terus istiqamah mendekati pengundi.

“Moga kemenangan menjadi milik Islam. InsyaAllah!,” tambah beliau.