Hayati Gaya Hidup Sihat Berteraskan Ibadah

230

Oleh: Fatimah Din

MARANG – Golongan wanita muda perlu melangkah lebih jauh dengan menghubungkan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada ibadah.

Ketua Penerangan Muslimat DUN Rhu Rendang, Noorsheikha Syed Mahmud menegaskan bahawa niat yang betul menjadi kunci utama dalam setiap usaha ke arah kesihatan diri.

“Jika kita hadir dengan niat untuk kurus, insya-Allah kita akan dapat kurus. Jika niat untuk sihat, insya-Allah kita akan menjadi sihat,”jelasnya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Senamrobik 1.0 di Dewan Sivik Seberang Marang, Kampung Darat Pak Chan, di sini pada 7 Februari.

Beliau turut memuji Ameerah atau Muslimat Muda PAS DUN itu yang terus komited menyemai kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan wanita muda.

Program yang merupakan siri pertama bagi inisiatif kesihatan Ameerah DUN tersebut telah dikendalikan oleh Nur Lailatul Safura Abdul Manaf.

Ianya menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti wanita muda.

“Namun, jika kita turun ke program ini dengan niat untuk kurus dan sihat kerana Allah, insya-Allah bukan sahaja kesihatan yang diperoleh, malah pahala ibadah turut menanti,” ujarnya.

Menurutnya, senamrobik itu merupakan program sulung tahun 2026 dan telah berjaya menarik penyertaan hampir 90 orang wanita muda sekitar DUN itu sekali gus mencerminkan sambutan yang amat memberangsangkan.

“Maklum balas positif daripada para peserta turut menyaksikan permintaan agar program seumpama ini diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang,

“Secara tidak langsung membuktikan keperluan serta keberkesanan pendekatan yang menggabungkan kesihatan fizikal dan pengisian rohani,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.