

Surah At-Taubah Ayat 40 merakamkan kisah penting peristiwa hijrah di mana Rasulullah ﷺ ditemani Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA berlindung di dalam Gua Tsur ketika melarikan diri daripada kepungan kaum musyrikin Quraisy.
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْyَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya) sedang ia adalah salah seorang dari dua (orang) ketika mereka berdua di dalam gua. Ketika dia berkata kepada sahabatnya: ‘Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya dan menguatkannya dengan bantuan tentera yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itu bawahan (kalah dan hina), dan kalimah Allah (agama Islam) ialah yang tertinggi. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Hijraturrasul merujuk kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah (dahulunya dikenali sebagai Yathrib) pada tahun 622 Masihi.
Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan geografi untuk melarikan diri daripada ancaman, malah merupakan sebuah strategi besar yang mengubah landskap politik, sosial, dan dakwah Islamiah secara global.
Latar Belakang dan Faktor Penghijrahan
Perpindahan ini didorong oleh beberapa faktor kritikal yang menuntut tindakan segera;
1. Perintah Allah SWT
Hijrah dilakukan secara mutlak selepas turunnya wahyu, menandakan fasa baharu dalam penyebaran Islam.
2. Penentangan Hebat Kafir Quraish
Selepas kematian Abu Talib (bapa saudara baginda) dan Saidatina Khadijah (isteri baginda), pihak Quraish memperhebatkan sekatan ekonomi, penyeksaan fizikal, malah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW.
3. Jaminan Keselamatan di Madinah
Melalui Bai’ah Aqabah Pertama dan Kedua, penduduk Madinah (kaum Aus dan Khazraj) telah memeluk Islam dan berikrar untuk melindungi Rasulullah SAW serta umat Islam seperti ahli keluarga mereka sendiri.
Kronologi dan Strategi Pemikiran Tinggi
Hijraturrasul mempamerkan perancangan logistik dan taktikal yang sangat teliti sebagaimana yag di tuliskan dalam kebanyakan kitab sirah, seperti di bawah;
1. Taktik Penyamaran: Pada malam kepungan rumah baginda, Saidina Ali bin Abi Talib dengan berani menawarkan diri untuk tidur di atas katil Rasulullah SAW bagi mengelirukan pihak Quraish.
2. Persembunyian di Gua Thur: Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq bergerak ke arah selatan (berlawanan arah Madinah) dan bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari untuk meredakan operasi memburu oleh pihak musuh.
3. Rangkaian Sokongan Padu: Asma’ binti Abu Bakar menguruskan bekalan makanan, manakala Abdullah bin Abi Bakar bertindak sebagai pengintip maklumat. Amir bin Fuhairah pula membawa kambing gembalaan untuk memadam jejak kaki mereka
4. .Khidmat Penunjuk Jalan Profesional: Baginda mengupah Abdullah bin Uraikit, seorang bukan Islam yang pakar dengan selok-belok padang pasir, untuk memandu mereka ke Madinah melalui laluan pesisir pantai yang tidak biasa digunakan.
Ketibaan di Madinah dan Pembinaan Daulah
Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW melaksanakan tiga langkah institusi utama yang menjadi tiang seri negara Islam pertama;
1. Pembinaan Masjid Nabawi
Masjid bukan sahaja dibina sebagai tempat ibadat, malah berfungsi sebagai pusat pentadbiran, parlimen perbincangan, institusi pendidikan, dan pusat kebajikan masyarakat.
2. Penyatuan Kaum Muhajirin dan Ansar
Rasulullah SAW mempersaudarakan umat Islam yang berhijrah dari Mekah (Muhajirin) dengan penduduk tempatan Madinah (Ansar). Langkah ini berjaya menghapuskan semangat perkauman kuno (asabiyah) dan membina sistem sokongan ekonomi serta emosi yang kukuh.
3. Penggubalan Sahifah Madinah (Piagam Madinah)Perlembagaan bertulis pertama di dunia ini digubal untuk menyatukan masyarakat majmuk di Madinah, termasuk suku-suku Yahudi. Ia menjamin kebebasan beragama, hak kemanusiaan, dan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan Madinah daripada ancaman luar.
Impak dan Signifikan Hijrah
Kesan daripada Hijraturrasul membentuk struktur dunia Islam sehingga ke hari ini:
1. Permulaan Takwim Hijriah
Di bawah pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab, peristiwa hijrah ini secara rasmi dijadikan sebagai titik permulaan kalendar Islam.
2. Transformasi Dakwah
Islam bertukar daripada sebuah gerakan rahsia yang tertindas di Mekah kepada sebuah entiti politik dan kedaulatan negara yang disegani di Madinah.
3. Kebebasan Hak Asasi: Struktur sosial Madinah membuktikan bahawa Islam mengangkat keadilan, hak wanita, kebajikan hamba, dan keharmonian antara agama.
Hijraturrasul adalah perlambangan jelas tentang konsep usaha, strategi, dan tawakal. Ia mengajar umat manusia bahawa perubahan besar memerlukan pengorbanan yang tinggi dan perancangan yang bijak. Pengajaran daripada hijrah sentiasa relevan untuk diaplikasikan dalam konteks penghijrahan minda, sikap, dan pembangunan ummah moden.





























