Pemimpin PAS Turun Padang, Lihat Sendiri Kehidupan Rakyat

24

KUALA TERENGGANU – Pemimpin PAS turun padang untuk melihat melihat sendiri kehidupan rakyat, mendengar suara masyarakat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada pimpinan untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat, mendengar pandangan mereka serta menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Program seperti ini membolehkan kita turun sendiri melihat keadaan masyarakat, mendengar pandangan mereka dan menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Dalam program tersebut, sumbangan barangan keperluan asas telah disalurkan kepada 25 keluarga asnaf dari Kampung Beting Lintang dan Kampung Pengkalan Kubur,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika dihubungi hari ini mengulas mengenai Program Temu Mata Bersama Pimpinan yang diadakan sempena lawatan harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu ke DUN Kota Putera.

Menurutnya, program sama turut diserikan dengan sesi Ziarah Kasih ke rumah penduduk uzur bagi menyantuni mereka secara lebih dekat dan bersemuka.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berterusan turun padang akan diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan setempat.

“Insya-Allah, saya akan terus memastikan kebajikan, keperluan, dan suara warga DUN Kota Putera sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha kita memacu pembangunan setempat yang seimbang. Terima kasih atas sokongan dan kebersamaan semua,” ujarnya.

Sementara itu, anak muda yang aktif dalam sukan motocross turut diberi perhatian melalui sumbangan minyak 2T sebagai sokongan terhadap aktiviti mereka.

Menurut beliau, pihaknya akan berusaha menyampaikan aspirasi anak muda itu kepada pihak berkaitan bagi merealisasikan pembinaan sebuah litar rasmi.

“Insya-Allah, kita akan cuba menyampaikan hasrat mereka supaya dapat diwujudkan sebuah litar motocross sama ada di Beting Lintang ataupun Pengkalan Kubur dan perkara ini akan dibincangkan dengan pihak pentadbir,” katanya.

Tambah beliau, lokasi program di Pantai Beting Lintang turut memberi nilai tambah apabila kawasan berkenaan dilihat berpotensi sebagai destinasi pelancongan baharu di DUN Kota Putera.