Raja Petra Membuang Diri….. Tidak Hadir Ke Mahkamah

1051

Beliau sepatutnya hadir menghadapi tuduhan menghasut di Petaling Jaya, tidak dapat berbuat demikian kerana telah mengambil tindakan ‘membuang diri’ ekoran pertelingkahannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam catatannya yang di paparkan Malaysia Today hari ini, beliau berkata, tindakan tersebut adalah kerana surat terbuka yang dihantarnya kepada Menteri Besar Negeri Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaludin, sebagai respon kepada krisis Perlembagaan Negeri Perak yang berterusan.

Surat tersebut, katanya, telah menimbulkan ‘kemurkaan’ Sultan Selangor dan meminta beliau untuk memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Perak.

Namun begitu, katanya, disebalik membuat permohonan maaf, beliau telah menulis dua artikel yang mengkritik istana negeri Perak kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, kerana itu beliau telah dianggap melakukan penderhakaan dan memalukan kerabat Selangor serta ‘dititahkan menghadap’ bagi membincangkan isu tersebut.

Katanya beliau tidak hadir menghadap dan menyebabkan diberi kata dua samada memohon maaf secara terbuka ataupun diistyharkan sebagai ‘bukan kerabat DiRaja Selangor’.

Oleh yang demikian, beliau telah memilih untuk membuang dirinya sendiri keluar dari negeri Selangor sebagaimana hukuman keatas ‘penderhaka’ yang dikenakan oleh Kesultanan Selangor terhadap kaum kerabat sejak lebih 250 tahun lalu.

Sejak itu, katanya, beliau tidak dapat hadir ke majlis-majlis yang melibatkan kerabat DiRaja Selangor termasuk menziarahi dua ahli keluarganya yang ‘mangkat’ baru-baru ini.
 
Kini, beliau tidak boleh menjejakkan kakinya ke dalam negeri Selangor dan tidak dapat hadir ke mahkamah yang bersidang di Petaling Jaya Selangor.