27 Ekor Lembu Ibadah Korban Sempena Aidiladha

30
YB Haji Zaharuddi. Zahir

KUALA NERUS – Sebanyak 27 ekor lembu dilaksanakan untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di beberapa kawasan sekitar Kuala Nerus, melibatkan DUN Bukit Tunggal, DUN Tepoh dan DUN Seberang Takir, sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan mengeratkan hubungan masyarakat setempat.

Bendahari PAS Kuala Nerus YB Haji Zaharudin Zahir berkata, sebanyak 14 ekor lembu akan dikorbankan di Padang Bola Bukit Tumbuh pada 28 Mei bermula jam 8.00 pagi.

Menurut beliau, agihan daging korban akan dibuat kepada golongan fakir miskin melalui cawangan-cawangan setempat, selain sebahagiannya dimasak untuk jamuan rakyat.

“Insya-Allah ibadah korban akan dilaksanakan di Padang Bola Bukit Tumbuh.

“Daging akan diagihkan kepada fakir miskin dan sebahagiannya dimasak untuk jamuan rakyat,” katanya.

Khemah persiapan program Korban DUN Bukit Tunggal

Beliau turut memaklumkan Majlis Tindakan DUN Bukit Tunggal akan menganjurkan Jamuan Rakyat Aidiladha pada hari yang sama bermula jam 11.30 pagi di hadapan Pejabat Pusat Khidmat DUN Bukit Tunggal, Kampung Bukit Tumbuh.

Program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta menyemarakkan sambutan Aidiladha dalam kalangan masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengarah Program DUN Tepoh, Abdul Halim Chik berkata, program ibadah korban peringkat DUN Tepoh telah dilaksanakan pada Hari Raya kedua bertempat di Surau Pak Tuyu dengan melibatkan 10 ekor lembu.

Menurut beliau, agihan daging korban akan disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar di kawasan sekitar.

“Program tahunan ini terus menjadi wadah mengeratkan hubungan masyarakat di samping memperkukuh penghayatan ibadah korban dalam kalangan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, di DUN Seberang Takir, sebanyak 3 ekor lembu turut dikorbankan dalam program ibadah korban peringkat setempat sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan semangat pengorbanan dan kebajikan masyarakat.

Program korban di ketiga-tiga kawasan ini berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak serta penyertaan masyarakat setempat.