Setiap Aktiviti PAS Dilaksana Selari Dengan Nilai Islam

196

KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan bahawa pendekatan pentadbiran parti itu adalah memastikan setiap aktiviti masyarakat dilaksanakan selari dengan nilai-nilai Islam tanpa menjejaskan keselamatan dan keharmonian awam.

Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad berkata, PAS tidak melihat sesuatu aktiviti secara bersifat melarang secara mutlak, sebaliknya mengurus kebebasan masyarakat dengan panduan syarak sebagai asas utama pentadbiran.

Beliau berkata, prinsip itu penting bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan tanggungjawab sosial dapat dicapai dalam suasana masyarakat majmuk.

“Pendekatan kita adalah mengurus kebebasan dengan panduan syarak, bukannya menghalang secara mutlak sesuatu aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program ceramah perdana pasca Sidang DUN di Perkarangan Parking Surau Al Hikmah Padang Midin, jumaat.

Dalam masa yang sama Idris turut memetik tindakan Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay, yang menutup ratusan premis arak berhampiran lokasi tertentu walaupun menanggung kerugian besar demi menjaga moral masyarakat.

“Menang sahaja pilihan raya, Ketua Menteri Tamil Nadu terus mengarahkan 717 kedai arak yang beroperasi berhampiran stesen bas dan kuil ditutup walaupun tindakan itu menyebabkan kerugian kira-kira RM6 bilion.

“Hasil penjualan arak itu sebelum ini menyumbang antara 10 hingga 12 peratus pendapatan negeri Tamil Nadu,” katanya.

Tambah Idris, faktor moral dan keselamatan awam tidak boleh dipandang ringan terutama membabitkan kes kemalangan akibat mabuk.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, juga sanggup berdepan tindakan undang-undang selepas mengambil langkah menutup premis perjudian di negeri itu.

“Sanusi disaman kerana mengharamkan judi di Kedah, tetapi beliau sanggup lawan di mahkamah kerana mempertahankan dasar parti,” ujar beliau.

Idris menambah, PAS akan terus berdepan persepsi negatif yang cuba mengaitkan parti itu dengan imej ekstremis semata-mata kerana mempertahankan dasar Islam.

“Mereka cuba gambarkan PAS seperti pengganas, Taliban dan tidak pandai mentadbir.

“Namun kita yakin Islam adalah jalan yang lurus dan membawa kesejahteraan kepada rakyat,” tegas beliau.