RPK ; Anak Raja, Blogger yang durhaka, Menjadi Pelarian di Tanah Air Sendiri

877

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/04/RPKmerayuundi.jpgMungkin tidak semua diantara kita yang mengetahui bagaimana RPK membantu PAS dan Pakatan Rakyat semasa PRK Kuala Terengganu.

Beliau bersama kumpulan blogawan (bloggers) ‘I am with RPK’ telah berkampung di Kuala Terengganu sejak hari penamaan calon 6 Januari, sehingga tamat pengundian pada 17 Januari.(Gambar – RPK bersama blogawan menunjukkan poster Wahid merayu undi di PRK Kuala Terengganu)

Sebelum meletakkan sasaran kerjanya, beliau dan kumpulan blogawan hadir ke Markaz Induk PRK Kuala Terengganu dan berbincang dengan kepimpinan jentera pilihanraya.

Kuala Ibai bukanlah asing kepada RPK. Beliau pernah bertahun-tahun tinggal disitu dan menjadi jiran kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.

Faktor kehadiran RPK dalam PRK Kuala Terengganu telah menyemarakkan gelanggang kempen Pakatan Rakyat, mendapat liputan meluas oleh hampir semua media termasuk media perdana.

Semua usaha kempen dilakukan oleh RPK dan kumpulan blogawannya.

Mereka bukan sahaja berjalan kaki berkempen dari rumah kerumah, mengedarkan risalah dan poster, menghadiri majlis-majlis pertemuan, berceramah dan tidak ketinggalan membuat laporan polis terhadap rasuah yang dilakukan oleh UMNO/BN dalam PRK Kuala Terengganu.
 
Liputan kempen dan analisa beliau dilaporkan secara terus setiap hari, dipaparkan dalam laman Malaysia Today.

Selepas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di isytiharkan sebagai pemenang, RPK turun ke jalanraya bersama puluhan ribu para penyokong meraikan kemenangan yang manis itu.

Dua minggu selepas PRK Kuala Terengganu, Dato’ Seri Najib Razak telah mengetuai UMNO/BN melakukan Kudeta, merampas kuasa kerajaan negeri Perak.

Apabila krisis perlembagaan Perak bermula dan ia bersangkutan dengan istana Perak, RPK telah menulis surat terbuka kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Nizar Jamaludin.

Kandungan surat tersebut kini dianggap sebagai sebagai satu tindakan menghina Raja-raja Melayu.

RPK telah menulis ; “I speak as a Royal but speak for the Rakyat. And rest assured there are many other Royals who share my view. Don’t allow a handful of those who sit on the throne intimidate you into thinking that you are alone, representing the Rakyat, against the Monarchy. No, we are with you, as are many other Royals”.
(Saya bercakap sebagai kerabat DiRaja, tetapi bercakap mewakili rakyat. Dan sebagai jaminan, ramai lagi kerabat DiRaja yang menyokong pandangan saya. Jangan biarkan mereka yang duduk diatas singgahsana mengugut awak (Nizar) dengan fikiran mereka bahawa awak berseorangan mewakili rakyat menentang Raja-raja. Tidak, kami semua bersama kamu, begitu juga dengan kerabat DiRaja yang lain)

Akibat tulisan diatas dan dua artikel lagi selepas surat terbuka kepada Nizar, RPK telah menghadapi kemurkaan Sultan Selangor dan kaum kerabatnya yang akhirnya mahu meminggirkan beliau sebagai kerabat DiRaja Selangor.

Beliau dianggap durhaka kerana perjuangan menegakkan hak dan keadilan sebagaimana Menteri Besar Perak, Nizar Jamaludin, yang digelar durhaka kerana mahu mengembalikan suara dan mandat rakyat.

Semalam, satu waran tangkap telah dikeluarkan keatas RPK kerana beliau tidak hadir ke mahkamah.

Beliau melalui tulisannya dalam Malaysia Today berkata, antara sebab beliau tidak hadir adalah kerana sudah tidak percaya kepada keadilan sistem kehakiman.

RPK berdepan dengan tuduhan menghasut berhubung satu artikel yang bertajuk ‘Let’s send the Altantuya murderers to hell’ yang membabitkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948  RPK menghadapi hukuman denda maksima RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Apabila Hakim Rozina Ayob bertanya peguambela RPK, J Chandra memaklumkan kepada mahkamah Sesyen Petaling Jaya, sebab-sebab  RPK tidak hadir sebagaimana tulisannya dalam Malaysia Today.

J Chandra memaklumkan kepada Hakim, menurut tulisan tersebut, RPK berkata beliau kini “hidup dalam buangan” dari Selangor dan oleh itu tidak dapat hadir di Petaling Jaya, tempat mahkamah tersebut berada.

Para penyokong ‘Ikon Media Baru’ yang hadir di mahkamah semalami berkata mereka juga tidak tahu di mana Raja Petra berada sekarang.

Selepas tiga bulan PRK Kuala Terengganu berlalu, RPK, anak raja keturunan kesultanan Selangor, yang mundar mandir berkempen menghantar risalah dan bertemu pengundi di Kampung Cina, kini menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Lihat Klip Video PRK Kempen Di Kuala Terengganu