SETIU – Dewan Muslimat PAS diingatkan supaya memperkemas kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal susulan perkembangan politik semasa yang disifatkan semakin mencabar.
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, senario politik negara ketika ini memperlihatkan kemungkinan PRU diadakan lebih awal termasuk berpotensi berlaku serentak dengan beberapa pilihan raya negeri.
Beliau berkata, walaupun ia masih berbentuk andaian politik, perkembangan semasa tidak boleh dipandang ringan oleh jentera parti di semua peringkat.
“Ramalan itu bukan sesuatu yang mustahil, malah mungkin juga berlaku serentak dengan PRN di beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
“Situasi hari ini memperlihatkan landskap politik dan pengurusan pentadbiran di peringkat Persekutuan yang semakin mencabar,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu kali ke-43 di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Guntong Luar, di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa semua jentera parti perlu memperkukuhkan kesiapsiagaan dari sekarang termasuk aspek organisasi, tarbiah, komunikasi dan gerak kerja masyarakat.
Menurutnya, kekuatan jentera tidak hanya bergantung kepada kemenangan lalu, sebaliknya perlu diperkukuhkan secara berterusan bagi menghadapi cabaran politik semasa yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli supaya tidak leka dengan kemenangan yang telah dicapai, sebaliknya sentiasa bersedia berdepan cabaran termasuk perang persepsi dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Katanya, Dewan Muslimat perlu memainkan peranan sebagai benteng penerangan dengan memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat dan berfakta.
“Program kita tidak boleh hanya tertumpu kepada ahli sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan kepada masyarakat melalui pendekatan kebajikan, dakwah dan khidmat komuniti,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pendekatan turun padang melalui aktiviti seperti kelas mengaji, pengurusan jenazah dan program kebajikan perlu diperkasakan bagi mendekati masyarakat.
Katanya, usaha mendekati rakyat bukan sekadar retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh ahli Muslimat supaya terus istiqamah dalam perjuangan serta memperkukuhkan ukhuwah bagi memastikan kekuatan parti terus utuh menghadapi pilihan raya akan datang.




























