PAPISMA Sokong Penuh Langkah Larang Aktiviti Homoseksual

373

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan proaktif kerajaan PAS Terengganu yang memasang papan tanda larangan aktiviti homoseksual di lokasi strategik seluruh negeri.

Presidennya, Dr Awisul Islah Ghazali berkata, langkah ini dilihat sebagai satu usaha murni dalam mendidik masyarakat dan membendung penyebaran budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam serta norma masyarakat Malaysia.

“Sebagai sebuah badan profesional yang terdiri daripada para doktor Muslim, PAPISMA memandang serius terhadap peningkatan gejala sosial yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan norma masyarakat Malaysia.

“Langkah kerajaan negeri ini dilihat sebagai usaha murni dalam mendidik masyarakat serta mencegah penyebaran budaya yang tidak sihat,” jelasnya.

Belaiu berkata demikian dalam kenyataannya, pada semalam.

Menurut beliau, statistik terkini tahun 2024 menunjukkan bahawa 64 peratus daripada 3,185 kes HIV di Malaysia melibatkan golongan homoseksual dan biseksual.

Katanya, lebih 90 peratus daripada kes ini membabitkan lelaki, kebanyakannya berumur dalam lingkungan 20-an.

Tambah beliau lagi, bilangan golongan ‘Men Sex with Men’ (MSM) juga menunjukkan peningkatan ketara dengan anggaran melebihi 221,000 individu sehingga tahun 2018.

“Peningkatan ini merungsingkan, khususnya bagi sebuah kerajaan negeri yang berhasrat membentuk masyarakat Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.

PAPISMA turut mencadangkan agar inisiatif seperti ini diperluaskan melalui pendekatan lebih menyeluruh, termasuk program pendidikan kesihatan mental dan seksual berlandaskan nilai Islam.

“PAPISMA juga sedang berusaha untuk membantu mana-mana pihak dan kerajaan negeri bagi penyediaan modul-modul kesedaran dan pemulihan untuk menarik kembali mereka ke jalan sebenar,” katanya.

Justeru itu, beliau yakin bahawa dengan kerjasama antara pihak kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan komuniti amat penting dalam membentuk masyarakat yang sihat dan sejahtera.