Papan Tanda Larang Homoseksual : Terengganu Laksana Suruhan Allah, Bukan Semai Kebencian

470

Saya merujuk kepada laporan media berhubung bantahan pihak tertentu terhadap kewujudan papan tanda larangan perlakuan homoseksual yang dipasang oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di laluan utama berhampiran kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

2. Pihak kerajaan negeri, melalui Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, menyokong penuh inisiatif itu sebagai sebahagian daripada pendekatan amar makruf nahi mungkar yang merupakan tuntutan agama Islam.

3. Ia adalah usaha mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Quran dan Sunnah.

4. Larangan terhadap homoseksual bukanlah perkara baharu dalam Islam. Ia telah disebut dalam banyak ayat Al-Quran, termasuk kisah kaum Nabi Lut AS, yang dihancurkan kerana mengamalkan perbuatan songsang tersebut.

5. Maka sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita perlu menzahirkan penolakan terhadap perbuatan mungkar ini secara hikmah dan tegas.

6. Kami menolak dakwaan bahawa papan tanda ini adalah satu bentuk diskriminasi terhadap golongan minoriti. Ia bukan soal membenci individu, tetapi membenci perbuatan yang bertentangan dengan fitrah dan syariat.

7. Menegur kesalahan dan mencegah kemungkaran adalah sebahagian daripada kasih sayang terhadap manusia, agar mereka tidak terus berada dalam kesesatan.

8. Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar memahami konteks dakwah ini dengan hati terbuka dan tidak mempolitikkan atau memutarbelitkan mesej yang ingin disampaikan.

9. Terengganu sebagai negeri yang memartabatkan syariat Islam akan terus mengangkat usaha pencegahan, pendidikan dan penerangan dalam membina masyarakat yang sejahtera dan diberkati.

Sekian, wassalam.
YB USTAZ DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
9 MEI 2025/11 ZULKAEDAH 1446H