22 Ekor Lembu Korban Agih Manfaat Kepada Masyarakat Kuala Terengganu

35

Oleh ; Musfirah

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 22 ekor lembu telah dikorbankan dalam Majlis Korban Perdana Peringkat DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu 2026 yang berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama pelbagai pihak serta masyarakat setempat.

Daripada jumlah tersebut, 13 ekor lembu merupakan penyertaan bagi DUN Wakaf Mempelam manakala sembilan ekor lagi bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Program itu menghimpunkan petugas daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Dewan Muslimat, Pemuda, Ameerah serta sukarelawan yang berganding bahu menguruskan setiap proses bermula daripada penyembelihan sehingga pembahagian daging korban kepada peserta dan golongan yang layak menerima.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ibadah korban bukan sekadar menunaikan tuntutan agama, bahkan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Ibadah korban mengajar kita tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Apa yang lebih penting, program seperti ini berjaya menyatukan masyarakat melalui semangat gotong-royong dan kerjasama yang erat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta korban, penyumbang, petugas, sukarelawan serta JPKK yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan program tersebut.

Menurutnya, kejayaan pelaksanaan Majlis Korban Perdana itu membuktikan kekuatan semangat muafakat masyarakat yang sentiasa menyokong usaha-usaha kebajikan dan kemasyarakatan di kawasan DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan sokongan bagi memastikan program ini berjalan lancar.

Semoga ibadah korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT, menjadi amal soleh yang diberkati serta memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Majlis berakhir dengan proses agihan daging korban kepada peserta dan penerima yang telah dikenal pasti, sekali gus menyemarakkan penghayatan Aidiladha dalam suasana penuh harmoni, kebersamaan dan semangat kekeluargaan.