Oleh : Rohayati Ripin (RR)
Kehidupan manusia yang diciptakan oleh Rabbul Jalil ada jangka hayatnya yang telah diberi nikmat oleh Allah SWT. Nikmat diberi agar kita memanfaatkan umur yang dipinjamkan oleh Allah dengan sebaik-baiknya.
Apabila kita membuat sesuatu pekerjaan hasrat kita ialah bila kita menanam ‘baja’ di dunia untuk tuai hasilnya di akhirat nanti.
Kita boleh ibarat diri kita seperti sebatang pensel yang banyak perkara yang boleh dimanfaatkan dan diperolehi daripadanya.
Sebatang pensel juga mengingatkan jika kita boleh buat sesuatu yang hebat dalam hidup ini jangan lupa ibarat pensel ada tangan yang memegangnya.
Maka ingatlah wahai insan yang bernama manusia akan ada kuasa yang membimbing langkah hidup kita iaitu Allah SWT menurut kehendaknya.
Ketika saat kita menulis pensel itu akan kerap tumpul dan kita terpaksa berhenti menulis untuk menajamkan semula. Pensel itu akan menderita ketika di raut menggunakan pengasah ataupun pisau tetapi hasil daripada asahan tersebut ia akan menjadi lebih tajam dan kemas tulisannya.
Pensel itu juga mungkin akan menghasilkan tulisan yang salah namun kita boleh memadamkan dan membetulkan balik tulisan itu semula.
Begitu juga manusia sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup kerana ia bukan sesuatu yang hina tetapi berusaha perbaiki kesalahan agar sentiasa berada di jalan yang benar.
Cuba fikirkan sebatang pensel yang mana paling penting diluar atau di dalam. Sudah tentu di dalamnya. Walaupun berwarna hitam tetapi sangat penting.
Begitu juga sebagaimana seorang manusia diciptakan setiap orang adanya sekeping hati yang suci.
Selain daripada itu,sebatang pensel selalu meninggalkan tanda atau goresan ketika saat kita menulis. Begitu juga kehidupan kita apa yang dilakukan akan meninggalkan kesan samaada diri sendiri atupun orang lain.
Jika sebatang pensel Allah ciptakan dengan manfaatnya untuk manusia. Pasti manusia yang Allah ciptakan punya manfaat yang lebih baik untuk alam.
Manfaatkan kehidupan bukan hanya untuk diri sendiri dan hargailah nikmat yang Allah beri.