Pecutan 10 Malam Terakhir Ramadan

221

Ramadan memasuki fasa paling menentukan, setelah hampir tiga minggu umat Islam menjalani ibadah puasa, tibalah saat yang sering digambarkan oleh para ulama sebagai pecutan terakhir.

Jika Ramadan diumpamakan sebagai satu perjalanan panjang, maka 10 malam terakhir adalah garis penamat yang menentukan kemenangan rohani seorang mukmin.

Namun realitinya, tidak semua orang memahami hakikat ini.

Sebahagian masyarakat mulai memperlahankan rentak ibadah, kerana tumpuan beralih kepada persiapan Aidilfitri.

Membeli pakaian baharu, menyiapkan rumah, dan merancang perjalanan pulang ke kampung., tanpa disedari, masa yang paling berharga dalam Ramadan berlalu begitu sahaja.

Padahal dalam tradisi Islam, 10 malam terakhir adalah kemuncak ibadah Ramadan.

Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa. Ia adalah bulan tarbiah rohani yang membina disiplin, kesabaran dan hubungan manusia dengan Allah.

Namun dalam keseluruhan Ramadan, terdapat satu fasa yang paling penting dan paling dinanti-nantikan oleh orang beriman – sepuluh malam terakhir.

Jika Ramadan diibaratkan sebagai sebuah perlumbaan, maka sepuluh malam terakhir adalah pecutan terakhir menuju kemenangan.

Di sinilah seorang mukmin diuji sejauh mana kesungguhannya memanfaatkan peluang yang Allah kurniakan.

Malam yang Lebih Baik Daripada Seribu Bulan

Keistimewaan sepuluh malam terakhir tidak dapat dipisahkan daripada Lailatul Qadar, malam yang disebut dalam al-Quran sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ertinya, ibadah pada satu malam itu menyamai ganjaran lebih 83 tahun.

Namun Allah tidak menentukan secara jelas malam tersebut. Hikmahnya ialah supaya umat Islam menghidupkan seluruh sepuluh malam terakhir, bukan hanya menunggu satu malam tertentu.

Inilah rahsia pendidikan Ramadan – ia mendidik manusia supaya bersungguh-sungguh dalam ibadah, bukan memilih-milih waktu.

Sunnah Nabi meninggalkan ‘kaifiat’ bagaimana kesungguhan di Penghujung Ramadan.

Dalam hadis sahih, apabila memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW melakukan tiga perkara penting:

1. Menghidupkan malam dengan ibadah
2. Mengejutkan ahli keluarga untuk beribadah
3. Mengikat kainnya, tanda kesungguhan yang luar biasa

Perkara ini menunjukkan bahawa penghujung Ramadan adalah waktu paling kritikal dalam perjalanan spiritual seorang Muslim.

Ironinya, pada zaman moden, suasana sering menjadi terbalik, ketika Ramadan hampir berakhir, sebahagian masyarakat semakin sibuk dengan persiapan hari raya, membeli-belah dan urusan dunia.

Masjid yang sebelumnya penuh pada awal Ramadan mula berkurang jemaahnya.

Sedangkan pada saat itulah pintu rahmat Allah terbuka paling luas.

Menghidupkan Malam dengan Amal

Menghidupkan sepuluh malam terakhir bukan bermaksud tidak tidur langsung. Maksudnya ialah mengisi malam dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah, antaranya:

1. Solat malam seperti tarawih, tahajjud dan witir
2. Membaca dan mentadabbur al-Quran
3. Memperbanyakkan zikir dan istighfar
4. Berdoa memohon keampunan
5. Iktikaf di masjid

Doa yang paling dianjurkan pada malam-malam ini ialah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan menyukai kemaafan, maka maafkanlah aku.”

Hakikatnya, Ramadan bukan sekadar latihan selama sebulan. Ia adalah madrasah yang mendidik manusia sepanjang hayat.

Jika seseorang berjaya mendisiplinkan dirinya pada sepuluh malam terakhir – bangun malam, menahan diri daripada kelalaian dan memperbanyakkan ibadah – maka roh Ramadan akan terus hidup dalam dirinya walaupun bulan ini telah berlalu.

Inilah kemenangan sebenar Ramadan: apabila jiwa manusia menjadi lebih dekat dengan Allah.