Gerakkan Gotong Royong Tangani Kes Denggi Di Seberang Takir

2561

Kejadian 4 kes demam denggi di Kg Batin, Seberang Takir, dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang berlaku sejak seminggu yang lalu perlu diambil iktibar oleh seluruh rakyat khususnya para pemimpin setempat. Semalam, program gotong royong telah digerakkan di sekitar kediaman mangsa denggi tersebut di Kg Tok Abu, Kg Batin bersama Pejabat Kesihatan Kuala Nerus dan pimpinan masyarakat setempat.

2. Saya menyeru seluruh rakyat khususnya di sekitar Kg Batin membersihkan kawasan rumah masing-masing agar selamat daripada sebarang tempat pembiakan nyamuk Aedes.

3. Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang mesti dibersihkan ialah tangki air, lubang-lubang pada tanah, tong-tong dram, bekas makanan dari jenis styreform, kasut getah, bekas makanan dan baldi air, botol air, tayar, tin-tin susu, piring alas dan pasu bunga, tong sampah, bekas-bekas yang dibuang, botol minuman, kolah hiasan, tayar buruk, kereta buruk, talam bawah peti sejuk, palong air hujan, kotak plastik, tangki tandas, akuarium, kolah mandi, tempayan dan tempurung.

4. Demam denggi adalah satu penyakit merbahaya yang disebabkan oleh virus yang boleh berjangkit apabila seseorang pesakit itu digigit oleh nyamuk Aedes dan membawanya kepada bakal pesakit yang baru

5. Sejumlah 32,435 kes demam denggi dengan 53 kematian dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 30 Jun tahun ini. Justeru, komuniti setempat beserta pimpinan masyarakat perlu segera menggerakkan gotong royong bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk

6. Kempen ini bertepatan dengan tema sambutan hari denggi di peringkat Asean iaitu “Komuniti Asean Membanteras Denggi”.

7. Marilah kita membina masyarakat yang bersih persekitarannya berpandukan firman Allah dalam ayat 222 surah al-Baqarah:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak bertaubat dan mencintai orang-orang yang sentiasa menyucikan diri”

“Selamatkan Rakyat Daripada Ancaman Denggi”

Sekian.

Ustaz Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus