Dapatkan Rawatan Dari Institusi Dan Pengamal Perubatan Bertauliah

2082
Pendakap gigi tiruan

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Seorang lulusan kolej vokasional bekerja di bahagian penyelenggaraan sebuah klinik kesihatan. Sepanjang tempoh bekerja di situ, hatinya jatuh cinta dengan bidang pergigian. Tambahan pula dia dapat maklumat, rawatan pendakap gigi sangat lumayan kosnya sehingga mencecah 5 ribu ringgit. Lalu dengan teknologi dunia tanpa sempadan, dia mula belajar teknik pemasangan pendakap gigi melalui alam maya.

Nampak macam senang saja. Lekatkan ‘braket’ pada permukaan gigi dan pasang wire. Dalam diam-diam, dia mula mencari maklumat di mana pembekal peralatan pendakap gigi yang dia boleh dapatkan alatan dan bahan-bahan tersebut. Ternyata semua peralatan ini sangat mudah diperolehi. Rawatan yang ditawarkan juga harganya yang jauh lebih murah dari seorang orthodontist bertauliah.

Ramailah pesakit yang mendapat rawatan darinya dengan hasil pendapatan yang sangat lumayan. Lumayan untuk doktor palsu, tapi pesakitnya bagaimana? Ini persoalan besar.

Adakah ‘fake braces’ hasil kerja doktor palsu ini berbahaya?

Sudah tentu ianya bahaya. Ini kerana isi kandungan fake braces ini tidak diketahui samada selamat untuk kesihatan atau tidak. Terdapat laporan menyatakan salah satu bahan yang terkandung di dalam fake braces ini adalah plumbum yang berbahaya pada kesihatan.

Selain daripada itu alat-alat yang digunakan untuk pemasangan fake braces ini tidak dibasmi kuman sebagaimana yang dilakukan di klinik-klinik pergigian ortodontik.

Adakah pemakaian ‘fake braces’ ini memberi kesan pada gigi?

Semestinya! Pada permukaan gigi, kesan gam yang dilekatkan boleh menyebabkan gigi terhakis. Karies gigi dan gusi berdarah juga boleh terjadi kerana tiada penerangan untuk penjagaan gigi selepas pemasangan. Tunjuk ajar cara memberus gigi tidak diberitahu kepada para pemakai ‘fake braces’.

Pendakap gigi asli

Selain itu, pemasangan ‘fake braces’ boleh menyebabkan pergerakan gigi secara tidak terancang. Ada juga kes dilaporkan hampir menyebabkan gigi goyang dan hampir tertanggal dari gusi.

Segeralah mengunjungi klinik pergigian untuk menanggalkan fake braces ini. Pemeriksaan penuh juga akan dilakukan oleh doktor gigi atau pakar ortodontik untuk memastikan tiada sebarang kerosakan pada gigi telah berlaku. Rawatan yang sepatutnya akan diberikan oleh pakar ortodontik atau doktor pergigian.

Rawatan pendakap gigi atau braces bukan hanya cerita lekatkan braket pada gigi dan pasang ‘wire’. Kalau setakat nak lekatkan braket pada gigi maka tak perlu seorang doktor gigi bertauliah yang telah menghabiskan 5 tahun pengajian ijazah pertama untuk menyambung pengajian peringkat sarjana selama 4 tahun lagi sebelum layak bergelar orthodontist yang bertauliah untuk memasang pendakap gigi. Ringkasnya 9 tahun pengajian formal dalam bidang pergigian barulah melayakkan seseorang bergelar orthodontist.

Bukan doktor gigi bertauliah ada rasa dengki dengan seorang individu yang tak melalui pendidikan formal dalam bidang pergigian tapi buat rawatan pergigian, cuma kita kasihan kepada pesakit yang ditipu hidup-hidup. Terlalu naif untuk seorang doktor bertauliah merasa tercabar dan tergugat dengan kehadiran doktor palsu. Ini bukan isunya.
Isu utama ialah bagaimana kita memberi isyarat yang betul kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan yang terbaik buat mereka dari institusi dan pengamal perubatan bertauliah yang legal dari segi perundangan.

Sikap dan trend baru anak-anak gadis generasi Y sebenarnya turut menyumbang kewujudan doktor palsu. Memakai alat pendakap gigi bagi mereka adalah lambang mereka dari keluarga kaya yang mampu buat rawatan yang mahal ini. Bagaikan satu kemegahan bila melekat pada gigi mereka alat pendakap gigi. Kononnya akulah anak orang kaya, kau mana ada! Walaupun yang dipakai itu hanya pendakap gigi palsu dengan kos sekitar RM200 sahaja berbanding pendakap gigi sebenar yang kosnya mencecah RM4 ribu.

Trend baru anak-anak remaja. Gigi elok dipakainya pendakap gigi. Mata tak rabun tapi pakai spek mata besar. Nasib baik belum mati dia dah pakai kain kapan.