MARANG – Gelaran “Ayatullah” yang dikaitkan dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya dijadikan bahan serangan politik kerana ia tidak menggambarkan cara sebenar parti itu membuat keputusan.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan yang dibuat dalam PAS tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya melalui proses perbincangan dan pertimbangan bersama dalam pelbagai peringkat kepimpinan parti.
Menurutnya, sekiranya gelaran tersebut benar-benar mencerminkan kedudukan Presiden PAS, maka segala keputusan parti akan dibuat berdasarkan pandangan beliau seorang diri, namun keadaan sebenar adalah sebaliknya.
“Kalau gelaran-gelaran itu benar, sudah tentu segala keputusan yang dibuat adalah atas pertimbangan beliau seorang, tetapi perkara itu tidak berlaku kerana dalam PAS kita mempunyai disiplin dan sistem tertentu.
“Keputusan-keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan serta pendapat daripada semua ahli yang terlibat dalam jawatankuasa dan badan membuat keputusan parti,” ujar beliau.


Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penggunaan gelaran “Ayatullah” terhadap Presiden PAS yang sering dijadikan modal kritikan oleh pihak tertentu selepas hadir merasmikan Pelancaran Rumah Contoh di Taman Koperat Alur Limbat pada Khamis.
Ustaz Wan Sukairi menjelaskan bahawa setiap keputusan dan pendirian parti dibentuk melalui proses syura serta perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak dalam organisasi, bukannya berdasarkan pandangan peribadi mana-mana individu.
“Jadi bukannya pandangan peribadi seseorang yang dikeluarkan untuk dijadikan pandangan parti keseluruhan.


“Sebab itu saya berpandangan gelaran seperti itu tidak sepatutnya diberikan kerana ia memberi gambaran yang tidak tepat terhadap cara PAS berfungsi,” katanya.
Tegasnya kekuatan PAS terletak pada amalan syura dan keputusan secara kolektif yang menjadi asas kepada pentadbiran serta hala tuju parti sejak sekian lama.






























