Oleh : KAM
BESUT – PAS Kawasan Besut yang baharu selesai bermesyuarat agung tahunannya berikrar, akan turut menyumbang ‘kerusi untuk kemenangan’ kerusi bagi mencapai hasrat PAS Terengganu kembali memerintah negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.
Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata hasrat Presiden PAS dan kepimpinan parti negeri ini mahu kembali memerintah Terengganu buat kali ketiga.
Justeru itu, katanya PAS Kawasan Besut mesti berusaha bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya tersebut.


“Dalam erti kata lain, PAS sukar untuk kembali menguasai Wisma Darul Iman jika Besut tidak menyumbang sebarang (kemenangan) kerusi.
“Kita (PAS Besut) berjanji untuk bekerja sedaya mungkin untuk merealisasikan hasrat PAS Terengganu dan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden. Insya’Allah, Besut akan menjadi pelengkap kepada Kemenangan PAS di Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Besut Kali Ke-58 di Dewan Haji Salleh, Alor Lintang, Jertih, Sabtu 18 Mac.


“Dalam tempoh sebulan yang lalu, kita mengadakan kempen keahlian PAS sehingga menggamit penyertaan lebih 400 ahli baharu untuk diproses dan diuruskan oleh Pejabat PAS Kawasan Besut ini,” jelasnya.
Menurutnya, PAS semakin diminati rakyat lantaran sikap kepimpinan dan ahli parti yang semakin terbuka dengan strategi Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS).
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor. Hadir sama, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato’ Hussain Awang.





























