Kos Sara Hidup Malaysia 2026: Harga Mungkin Naik Perlahan, Tetapi Beban Rakyat Masih Meningkat

7

Isu peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan terus menjadi antara cabaran ekonomi paling besar yang dihadapi rakyat Malaysia pada 2026.

Walaupun kadar inflasi negara secara keseluruhannya masih berada pada paras terkawal, realiti yang dirasai isi rumah jauh lebih kompleks kerana harga yang pernah meningkat tidak semestinya kembali turun apabila kadar inflasi menjadi lebih rendah.

Inilah yang menjelaskan mengapa wujud keadaan yang kelihatan paradoks, apabila kerajaan memdakwa angka inflasi rendah, tetapi rakyat masih merasakan kos kehidupan semakin mahal.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan inflasi tahunan Malaysia berada pada 1.4 peratus pada 2025, selepas mencatat 1.8 peratus pada 2024.

Namun pada 2026, tekanan harga kembali menunjukkan turun naik sebagaimana data menunjukkan inflasi meningkat 1.6 peratus pada Januari, turun kepada 1.4 peratus pada Februari, meningkat 1.7 peratus pada Mac, 1.9 peratus pada April, 2.0 peratus pada Mei sebelum berada pada 1.9 peratus pada Jun.

Angka tersebut menunjukkan bahawa tekanan harga belum hilang dan ia hanya berubah dari segi kadar dan sumber tekanan.

Harga tidak turun hanya kerana inflasi turun

Perkara paling penting yang perlu difahami dalam perbahasan kos sara hidup ialah perbezaan antara inflasi dengan paras harga.

Jika sebungkus barang meningkat daripada RM10 kepada RM12, kemudian kadar inflasi turun, ia tidak bermakna harga barang itu kembali kepada RM10.

Sekiranya harga tersebut meningkat lagi daripada RM12 kepada RM12.20, kadar kenaikannya mungkin kecil tetapi pengguna tetap membayar RM12.20, bukannya RM10.

Maka, apabila kerajaan mengatakan inflasi terkawal, ia tidak semestinya bermaksud rakyat sudah kembali menikmati harga seperti sebelum berlakunya gelombang kenaikan harga.

Ini merupakan sebab utama mengapa persepsi rakyat mengenai kos sara hidup kadangkala berbeza daripada angka inflasi nasional.

DOSM sendiri menjelaskan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan harga bagi 13 kumpulan barangan dan perkhidmatan utama yang dibeli rakyat.

Persoalannya ialah adakah struktur perbelanjaan sebenar setiap keluarga sama dengan wajaran IHP? Sudah tentu tidak.

Sebuah keluarga yang mempunyai anak kecil mungkin lebih terdedah kepada harga makanan, lampin, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak manakala keluarga yang mempunyai kereta pula lebih sensitif terhadap petrol, penyelenggaraan dan insurans. Golongan penyewa pula sangat terkesan dengan kos perumahan.

Sebab itu pengalaman inflasi seseorang tidak semestinya sama dengan angka inflasi nasional.

Makanan; Perbelanjaan yang tidak boleh dielakkan

Antara komponen paling sensitif dalam isu kos sara hidup ialah makanan, tidak seperti barangan kehendak lain yang boleh ditangguhkan pembeliannya, makanan perlu dibeli setiap hari.

Pada Mei 2026, kumpulan Makanan dan Minuman mencatat inflasi 1.4 peratus, meningkat daripada 1.2 peratus pada April.

Kenaikan kecil pada satu-satu barangan mungkin kelihatan tidak besar, tetapi apabila ia berlaku serentak pada beras, ayam, ikan, sayur, buah-buahan, minyak masak, makanan di luar rumah dan minuman, kesannya terkumpul menjadi beban yang besar kepada isi rumah.

Lebih penting, harga makanan bukan hanya dipengaruhi oleh kos pengeluaran.

Ia turut dipengaruhi oleh kos baja dan input pertanian, kos tenaga dan buruh, pembungkusan dan pengangkutan, kos gudang dan sewaan, kadar pertukaran mata wang dan harga komoditi dunia.

Selain itu, harga makanan juga dipengaruhi oleh pergantungan kepada import dan margin keuntungan sepanjang rantaian bekalan.

Oleh itu, menyalahkan peniaga semata-mata tidak menyelesaikan keseluruhan masalah.

Dari ladang hingga ke meja makan

Satu daripada persoalan paling penting dalam isu harga ialah berapa banyak kos yang terkumpul sepanjang rantaian bekalan sebagai contoh, sesuatu produk makanan mungkin melalui beberapa peringkat:
pengeluar → pengumpul → pemborong → pengangkut → peruncit → pengguna.

Pada setiap peringkat terdapat kos dan jika kos pengeluaran meningkat, kos pengangkutan meningkat dan kos operasi premis meningkat, harga akhir akhirnya menerima tekanan.

Ini menjadikan agenda menurunkan kos sara hidup jauh lebih rumit daripada sekadar menetapkan harga siling.

Dasar yang benar-benar berkesan perlu melihat keseluruhan rantaian nilai.

Pengangkutan menjadi pemangkin kenaikan kos

Satu lagi faktor penting ialah pengangkutan dan apabila kos bahan api (minyak), penyelenggaraan kenderaan, tayar, alat ganti, insurans dan tenaga kerja meningkat, kos membawa barang dari satu lokasi ke lokasi lain turut meningkat.

Kesan tersebut kemudiannya boleh dan kebiasaannya dipindahkan kepada pengguna, iaitu orang ramai atau pun rakyat.

Data DOSM menunjukkan kumpulan pengangkutan menjadi antara penyumbang penting kepada pergerakan inflasi pada 2026. Pada April, kumpulan itu mencatat kenaikan 4.1 peratus, manakala pada Jun ia masih meningkat 2.8 peratus.

Ini menunjukkan hubungan rapat antara kos pengangkutan dengan harga keseluruhan dalam ekonomi.

Malaysia ialah negara yang luas dengan rantaian bekalan yang menghubungkan kawasan pengeluaran, pelabuhan, pusat pengedaran dan pasaran pengguna.

Bagi Sabah dan Sarawak, misalnya, faktor geografi dan logistik boleh menambahkan lagi kos membawa barangan tertentu.

Begitu juga negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung yang mempunyai jarak tertentu daripada pusat pengeluaran dan pengedaran utama.

Perkhidmatan juga semakin penting

Perbahasan kos sara hidup tidak boleh tertumpu kepada barang fizikal sahaja kerana harga perkhidmatan turut memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Restoran, penginapan, komunikasi, pendidikan, kesihatan, insurans dan perkhidmatan kewangan merupakan sebahagian daripada kehidupan moden.

Pada Jun 2026, kumpulan Restoran dan Perkhidmatan Penginapan mencatat kenaikan 2.6 peratus, manakala Insurans dan Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.7 peratus. Kumpulan Maklumat dan Komunikasi pula meningkat 2.4 peratus.

Ini penting kerana apabila harga perkhidmatan meningkat, rakyat mungkin tidak mempunyai pilihan untuk mengurangkan perbelanjaan tersebut dengan mudah.

Sebagai contoh, sebuah keluarga tidak boleh begitu sahaja menghentikan bayaran insurans, internet, pengangkutan atau keperluan pendidikan.

Rumah: Kos terbesar yang sering tidak kelihatan

Perumahan merupakan antara komponen paling besar dalam bajet kebanyakan isi rumah dan kos rumah bukan hanya ansuran pinjaman atau sewa.

Ia merangkumi: sewa/ansuran + elektrik + air + penyelenggaraan + cukai + pembaikan + pengangkutan dari rumah ke tempat kerja.

Pada 2025, kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain mencatat inflasi 1.6 peratus. Pada Januari 2026, kumpulan tersebut masih mencatat kenaikan 1.2 peratus.

Lebih jauh seseorang terpaksa tinggal dari tempat kerja kerana mahu mendapatkan rumah yang lebih murah, lebih tinggi pula kos perjalanan yang perlu ditanggung.

Justeru, kos perumahan dan kos pengangkutan sebenarnya saling berkait.

Golongan berpendapatan rendah paling terdedah

Kesan kenaikan harga tidak sama kepada semua rakyat. Golongan berpendapatan rendah biasanya menggunakan bahagian pendapatan yang lebih besar untuk memenuhi keperluan asas.

Jika pendapatan RM3,000 sebulan, contohnya, sebahagian besar pendapatan mungkin sudah digunakan untuk makanan, rumah, pengangkutan dan bil.

Apabila kos tersebut meningkat, ruang untuk simpanan, pendidikan anak, kecemasan dan perbelanjaan lain semakin mengecil.

Golongan berpendapatan lebih tinggi mempunyai lebih banyak ruang untuk menyerap kejutan harga.

Sebab itu persoalan kos sara hidup sebenarnya juga merupakan persoalan ketidaksamaan ekonomi.

Masalah sebenar: pendapatan atau harga?

Perdebatan mengenai kos sara hidup sering bertumpu kepada harga tetapi satu lagi persoalan yang sama penting ialah pendapatan.

Jika harga meningkat 3 peratus tetapi gaji meningkat 5 peratus, kuasa beli secara teori boleh bertambah.

Sebaliknya, jika harga meningkat 2 peratus tetapi pendapatan hanya meningkat 1 peratus, rakyat tetap kehilangan kuasa beli.

Maka ukuran sebenar kesejahteraan bukan sekadar kadar inflasi. Ia ialah berapa banyak pendapatan bersih yang tinggal selepas isi rumah membayar keperluan asas.

Di sinilah agenda meningkatkan gaji, produktiviti dan pekerjaan bernilai tinggi menjadi penting.

Tanpa peningkatan pendapatan sebenar, bantuan kerajaan hanya mampu menjadi penampan sementara.

Bantuan kerajaan: penting tetapi bukan penyelesaian tunggal

Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai bentuk bantuan bagi menangani tekanan kos sara hidup.

STR dan SARA menjadi antara instrumen utama bantuan bersasar. Dalam Belanjawan 2026, peruntukan STR dan SARA dinaikkan sehingga RM15 bilion, menurut Kementerian Kewangan.

SARA pula membantu penerima membeli barangan keperluan asas melalui mekanisme tanpa tunai.

Langkah seperti ini penting kerana ia memberikan bantuan secara langsung kepada isi rumah yang memerlukan.

Namun bantuan tunai atau kredit pembelian tidak boleh menjadi satu-satunya strategi.

Jika kos hidup terus meningkat sedangkan pendapatan tidak berkembang, kerajaan terpaksa meningkatkan bantuan dari tahun ke tahun.

Keadaan itu tidak boleh menjadi penyelesaian struktur untuk selama-lamanya.

Subsidi: antara perlindungan rakyat dan beban fiscal

Subsidi pula mempunyai dilema tersendiri.

Jika subsidi dikekalkan secara meluas, pengguna dilindungi daripada kenaikan harga tetapi kerajaan perlu menanggung kos fiskal yang besar.

Jika subsidi dikurangkan secara mendadak, kos tersebut boleh berpindah kepada pengguna.

Sebab itu kerajaan bergerak ke arah subsidi bersasar.

Cabaran terbesar ialah memastikan golongan yang benar-benar memerlukan terus mendapat perlindungan tanpa menyebabkan pembaziran atau ketirisan.

Dalam konteks ini, persoalan subsidi bukan sekadar persoalan ekonomi. Ia adalah persoalan keadilan sosial.

Jangan hanya lawan harga, lawan punca harga

Dasar menangani kos sara hidup perlu bergerak daripada pendekatan jangka pendek kepada pendekatan struktur.

Antara langkah yang perlu diberikan perhatian ialah:
Pertama — tingkatkan produktiviti dan gaji
Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada model ekonomi yang menawarkan pekerjaan bergaji rendah.Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja.

Kedua — kukuhkan pengeluaran makanan tempatan
Semakin tinggi pergantungan kepada import, semakin terdedah harga makanan kepada kadar pertukaran mata wang dan harga pasaran antarabangsa.
Pengeluaran makanan tempatan perlu dilihat sebagai isu keselamatan negara.

Ketiga — pendekkan rantaian bekalan
Semakin panjang rantaian antara pengeluar dan pengguna, semakin banyak kos perantaraan.
Teknologi, koperasi, pasar terus dan platform digital boleh digunakan untuk mendekatkan pengeluar dengan pengguna.

Keempat — kawal monopoli dan kartel
Persaingan yang sihat penting supaya harga tidak ditentukan oleh segelintir pemain. Penguatkuasaan undang-undang persaingan perlu berjalan seiring dengan pemantauan harga.

Kelima — turunkan kos logistik
Kos pengangkutan dan logistik memberi kesan kepada hampir semua barangan.
Pelaburan dalam jalan raya, pelabuhan, gudang, kereta api, sistem pengedaran dan teknologi rantaian bekalan boleh membantu mengurangkan kos struktur.

Keenam — bina perumahan mampu milik berhampiran pusat pekerjaan
Rumah murah yang terlalu jauh daripada tempat kerja tidak semestinya benar-benar murah.
Kerajaan perlu melihat kos rumah + kos perjalanan sebagai satu pakej.

Mengapa angka inflasi sahaja tidak mencukupi?

Ini mungkin persoalan paling penting dalam keseluruhan perdebatan.

IHP ialah ukuran ekonomi yang sangat penting. Tetapi ia bukan satu-satunya ukuran kesejahteraan rakyat.

Kerajaan juga perlu melihat kepada pertumbuhan gaji sebenar, pendapatan boleh guna, kos perumahan, harga makanan, kos pengangkutan, hutang isi rumah, simpanan kecemasan, kos penjagaan anak.

Selain itu kerajaan juga perlu melihat kos Pendidikan, kos kesihatan dan kemampuan membeli rumah.

Barulah gambaran sebenar kos sara hidup dapat diperoleh.

Malaysia perlu beralih daripada “kos hidup” kepada “kualiti hidup”

Perbahasan mengenai kos sara hidup akhirnya membawa kita kepada persoalan lebih besar: apakah jenis ekonomi yang mahu dibina?

Malaysia tidak boleh sekadar mengejar pertumbuhan KDNK.

Pertumbuhan ekonomi yang tidak meningkatkan pendapatan rakyat atau tidak mengurangkan kos asas kehidupan tidak akan dirasakan sebagai kemakmuran oleh sebahagian besar masyarakat.

Matlamat akhirnya mestilah membina ekonomi yang membolehkan seseorang pekerja:
mendapat pekerjaan yang baik → memperoleh gaji yang munasabah → membeli rumah → membesarkan keluarga → mendapatkan pendidikan dan kesihatan yang baik → mempunyai simpanan → dan masih mempunyai lebihan untuk menikmati kehidupan.

Itulah ukuran sebenar kemakmuran.

Kesimpulannya, rakyat tidak meminta harga sentiasa turun, tetapi mahu kehidupan lebih mampu ditanggung

Isu kos sara hidup Malaysia pada 2026 tidak boleh diselesaikan dengan satu formula.

Ia memerlukan gabungan antara dasar harga, subsidi bersasar, bantuan kepada golongan rentan, pengeluaran makanan tempatan, persaingan pasaran, kecekapan logistik, perumahan mampu milik dan yang paling penting, pertumbuhan pendapatan rakyat.

Data rasmi menunjukkan inflasi Malaysia masih terkawal dari sudut makroekonomi. Namun angka itu tidak harus digunakan untuk menafikan pengalaman isi rumah yang berdepan harga barangan dan perkhidmatan yang sudah berada pada paras lebih tinggi berbanding beberapa tahun lalu.

Persoalan yang patut menjadi ukuran dasar bukan hanya berapa peratus inflasi Malaysia? Sebaliknya selepas membayar makanan, rumah, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan bil, berapa banyak wang yang masih tinggal dalam poket rakyat?

Jika jawapannya semakin sedikit, maka isu kos sara hidup masih belum selesai.

Dan di situlah cabaran sebenar ekonomi Malaysia pada 2026 — bukan sekadar memastikan harga naik perlahan, tetapi memastikan pendapatan rakyat meningkat lebih pantas daripada kos kehidupan mereka.