Perjuangan Menegakkan Islam Adalah Jalan Ke Syurga
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh kenyataan yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung perjuangan di atas landasan Islam melalui wadah PAS sebagai asbab dan jalan menuju ke syurga Allah SWT. Kenyataan tersebut adalah selari dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertepatan dengan nas-nas syarak yang qat’ie (pasti).
2. Kenyataannya amat jelas, Syurga itu dijanjikan kepada mereka yang menjadikan perjuangan mendaulatkan Islam sebagai matlamat, dan PAS merupakan wadah (wasilah) gerakan Islam di Malaysia. Allah SWT secara terang menjanjikan syurga buat golongan yang berjihad dengan harta dan jiwa raga demi meninggikan kalimah-Nya, sepertimana firman-Nya dalam Surah As-Saff ayat 10-12 yang menjanjikan pengampunan dosa dan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai buat mereka yang berjuang di jalan Allah.
3. Sehubungan itu, DUPP memandang serius dan kesal dengan sikap Menteri Agama yang cuba membesar-besarkan hal ini dengan menggunakan retorik “syurga dan neraka adalah milik mutlak Allah”. Walaupun secara asasnya frasa tersebut adalah benar, namun penggunaannya dalam konteks menafikan kaitan antara perjuangan Islam dan ganjaran syurga adalah satu tindakan yang membawa maksud, “Kalimatu haqqin urida biha al-batil” (Maksudnya: Kata-kata yang benar, tetapi bertujuan untuk menegakkan kebatilan) sepertimana amaran Saidina Ali bin Abi Talib RA.
4. Naratif yang dibawa oleh Menteri Agama ini sangat berbahaya kerana ia bertujuan mengelirukan pemikiran umat Islam. Ia seolah-olah menanam kefahaman sekular bahawa penglibatan dalam politik tidak ada kaitan dengan urusan akhirat dan ganjaran syurga. Hakikatnya, akidah mengajar kita bahawa syurga itu milik Allah, dan Allah jualah yang telah meletakkan syarat bahawa syurga-Nya itu dianugerahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh dan berjuang membela agama-Nya.
5. Sudahlah ummah hari ini sudah hampir hilang semangat jihadnya. Perjuangan dan jihad memartabatkan Islam yang dijanjikan Syurga kini ditohmah dengan karat sekular menambah penyakit pada umat yang sedang tenat. Walhal inilah sunnah dan perjuangan junjungan Baginda Rasulullah SAW.
6. DUPP mencabar Menteri Agama dan mana-mana pihak yang berfikiran sinis dalam isu ini untuk mengemukakan dalil di manakah salahnya kenyataan yang menyatakan bahawa berjuang mempertahankan Islam melalui gerakan parti Islam (seperti PAS) akan dikurniakan pahala, dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga? Tunjukkan kepada kami nas mana yang menafikan ganjaran syurga bagi mereka yang berhimpun dan bekerja secara berjemaah Amal Jamai untuk memartabatkan syariat? Sedangkan banyak sekali nas dan dalil daripada Al Quran, Hadith mahupun sirah yang menunjukkan sebaliknya.
7. Prinsip ketatanegaraan dan perjuangan siasah (politik) sebagai satu tuntutan agama yang dijanjikan ganjaran ukhrawi ini bukanlah ciptaan PAS, sebaliknya ia juga merupakan pandangan ulamak muktabar.
8. Antaranya, Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Iqtisad fi al-I’tiqad menegaskan: “Agama dan kekuasaan itu adalah saudara kembar. Agama adalah asas, manakala kekuasaan (politik) adalah penjaganya. Apa yang tidak ada asasnya akan runtuh, dan apa yang tidak ada penjaganya akan hilang.”
9. Al Marhum Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam perbahasan fiqh keutamaan sentiasa menekankan kewajipan Amal Jamaie (gerakan berkumpulan) dalam arena politik untuk mempertahankan syariat Islam daripada ancaman sekularisme, dan ia merupakan pintu jihad yang paling besar pada zaman moden.
10. Memisahkan ganjaran syurga daripada perjuangan menegakkan syariat melalui sistem politik, pada saat pihak musuh menggunakan jentera politik untuk menjauhkan umat daripada Islam, adalah satu kedangkalan aqidah. PAS akan terus istiqamah mendidik rakyat bahawa undi, sokongan, dan keringat yang dicurahkan untuk memastikan Islam berdaulat di bumi Malaysia adalah saham akhirat yang akan dibentangkan di hadapan Allah dan menjadi asbab terbukanya pintu-pintu syurga.
11. DUPP menyeru seluruh ahli PAS, para penyokong, dan umat Islam di negara ini agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak yang cuba memisahkan politik daripada ganjaran ukhrawi. Teruskan gerak kerja dan yakinlah dengan janji Allah SWT. Kerana itulah kita digelar orang yang beriman (believers), iaitu orang-orang yang yakin dengan janji Allah.
YB USTAZ DATO’ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)





























