BACHOK — PAS tidak menetapkan angka 30 peratus sebagai had kepada penyertaan Muslimat sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya terbuka untuk meletakkan jumlah lebih tinggi berdasarkan merit dan keperluan kawasan.
Naib Presiden PAS, Dato Ustaz Idris Ahmad berkata, parti itu tidak mempunyai masalah untuk memberi peluang lebih besar kepada Muslimat sekiranya terdapat calon yang mempunyai hasrat untuk bertanding.
“PAS sebenarnya tiada masalah. Merit kita tidak menentukan, kadang-kadang lebih daripada itu pun kita bagi.
“Tetapi kadang-kadang ada Muslimat ini dia tolak, ada setengah dia tidak mahu. Itu yang berlaku,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-66 yang berlangsung di Bachok, Kelantan, hari ini.
Menurutnya, PAS sentiasa terbuka sekiranya Muslimat menyatakan kesediaan untuk bertanding, namun keputusan akhir tetap mengambil kira merit dan kehendak kawasan.
“Asal ada hasrat itu, kita terbuka, kita tidak ada masalah. Kita berdasarkan merit dan berdasarkan kepada kehendak kawasan,” ujarnya.
Tambah beliau, penyertaan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya bergantung kepada kesesuaian calon dan keperluan politik di kawasan masing-masing.






























