KEMAMAN – Seramai 493 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan banjir sebanyak RM250 setiap keluarga menerusi Dana Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Setiausaha PAS KemamanYbb Mohd Hafiz Adam, pemberian tersebut bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat bencana banjir tahun lalu.
“Bantuan berjumlah keseluruhan RM123,250 itu disalurkan sebagai inisiatif membantu keluarga terjejas menghadapi kesukaran susulan bencana berkenaan.” kata beliau yang juga ADUN Air Putih ketika dihubungi
Menurut beliau, kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkaitan penting bagi memastikan kebajikan masyarakat yang ditimpa musibah terus mendapat perhatian.
Menjelang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) akhir bulan ini, beliau turut mengingatkan penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir, supaya sentiasa berwaspada dan membuat persediaan awal.


“Penduduk, khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir, perlu sentiasa berwaspada, membuat persediaan awal dan mengutamakan keselamatan keluarga,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JAKIM, Yayasan Wakaf Malaysia, Unit Takmir Negeri Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kemaman serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyaluran bantuan berkenaan.
Mohd Hafiz berharap usaha itu mendapat keberkatan Allah SWT dan memberi manfaat kepada keluarga penerima.
Majlis penyerahan bantuan tersebut dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Datuk Hanafiah Mat, dengan kehadiran wakil JAKIM, Yayasan Wakaf Malaysia, Unit Takmir Negeri Terengganu, Penghulu Kanan Daerah Kemaman dan Pegawai Agama Daerah Kemaman.
































