AsSabiqun Gerak Kutipan Infak Istiqamah, Sasar 150 Penyumbang setiap Negeri

3

KOTA BHARU — Dewan As-Sabiqun PAS di setiap negeri disasarkan mempunyai sekurang-kurangnya 150 penyumbang Infak Istiqamah sebagai sebahagian daripada gerak kerja memperkukuh kewangan perjuangan parti.

Ketua Dewan As-Sabiqun PAS Pusat, Haji Mohamad Nor Mohamad berkata, sasaran itu perlu dicapai selewat-lewatnya 31 Disember 2026, dengan setiap dewan negeri perlu mendaftarkan 150 orang penyumbang bagi menjayakan usaha berkenaan.

Katanya, PAS Pusat telah menetapkan mekanisme agihan bagi sumbangan Infak Istiqamah yang turut memberi manfaat kepada Dewan As-Sabiqun di peringkat negeri.

“PAS Pusat melalui Infak Istiqamah telah membuat “ruling’ bahawa bagi setiap sumbangan RM10 kepada Infak Istiqamah As-Sabiqun, kita akan mendapat 70 peratus.

“Untuk konvensyen kali ini, setiap Dewan As-Sabiqun negeri kena mendaftar 150 orang bagi Infak Istiqamah dan tarikh akhir ialah 31 Disember 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Dewan As-Sabiqun PAS.

Mengulas lebih lanjut beliau berkata, sasaran berkenaan bermakna bermula 1 Januari 2027, setiap Dewan As-Sabiqun negeri diharapkan telah mempunyai sekurang-kurangnya 150 penyumbang tetap.

“Daripada 70 peratus yang kita dapat melalui pejabat agung, kita akan pulangkan 50 peratus kepada negeri.

“Ini membantu As-Sabiqun dan PAS Pusat, secara tidak langsung membantu memenuhi hasrat pimpinan ketika Tuan Guru Presiden ketika mengumumkan konvensyen ini diadakan,” katanya.

Beliau menyeru seluruh ahli As-Sabiqun agar melihat sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada istiqamah dalam perjuangan dan sokongan terhadap gerak kerja parti di semua peringkat.