BESUT – PAS Terengganu mengambil langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, termasuk mempertahankan kemenangan 32 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pesuruhjayanya, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, persiapan awal penting bagi membina keyakinan dalam kalangan para petugas untuk berhadapan dengan pilihan raya yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.
Menurut beliau, parti itu bukan sahaja mahu mengekalkan ‘status quo’, malah berusaha mengekalkan maruah dan rekod sebagai negeri dengan pencapaian besar pasa PRU lalu.
“Kita Teguh Memimpin, lanjutan daripada Teguh Pertahan. Kita teguh untuk mempertahankan kerusi sebanyak 32 kerusi pada tahun 2022.
“Alhamdulillah, kurniaan daripada Allah, bukan sahaja kita pertahankan kemenangan, kita berjaya bina satu maruah yang baharu. Inilah Terengganu, 100 peratus suci bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Terengganu, DUN Kuala Besut pada Jumaat.


Tambahnya, pencapaian tersebut merupakan satu rekod yang perlu dipertahankan bersama oleh seluruh jentera dan penyokong PAS.
“Yang mencipta rekod itu adalah anda semua. Yakinlah kita semua berada di atas landasan yang benar,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Husain berkata, situasi politik semasa perlu diberi perhatian serius kerana keputusan pilihan raya akan menentukan hala tuju dan dasar sesebuah negeri, termasuk cara kerajaan mengurus rakyat.
Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong PAS supaya mengambil tanggungjawab mempertahankan pemerintahan negeri sebagai amanah besar kepada generasi akan datang.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PAS supaya bangkit dan bersiap sedia menghadapi persaingan politik pada PRU16, termasuk berdepan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Marilah kita bangun, anda semua adalah frontliner untuk berhadapan dengan musuh politik, iaitu Pakatan Harapan dan juga DAP.
“Sama-sama kita bangkit untuk kemenangan kuasa politik bukan sahaja dalam negeri, bahkan negara,” tambah beliau.


























