KUALA TER5NGGANU – Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan syukur, menyambut baik dan menyokong penuh langkah kesepakatan yang dibina melibatkan parti-parti terbesar Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16.
Menurut Ketua Penerangannya, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah, muafakat ini adalah satu perkembangan yang amat positif dalam usaha menjayakan agenda besar Penyatuan Ummah di negara ini.
“Keadaan politik orang Melayu-Islam yang semakin terancam pada hari ini mendesak supaya kuasa politik ini dipertahankan dengan seutuhnya. Justeru, adalah menjadi satu kewajipan buat semua parti berteraskan Melayu dan Islam untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu padu.
“Sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai isu yang meresahkan dan membimbangkan urat nadi umat Islam, terutamanya perihal yang menyebabkan masyarakat Melayu-Islam terasa kepentingan serta kedaulatan hak mereka semakin hari semakin dicabar secara terbuka.” tegas beliau dalam satu kenyataan media semalam
Berndahari PAS Terengganu itu juga menegaskan, umat Islam wajib mengambil iktibar daripada peringatan Allah SWT mengenai bahaya perpecahan dan kesan membiarkan musuh saling bersekutu.
Beliau menyeru seluuruh umat menghayati firman Allah SWT Surah Al-Anfāl, 73 ;
{ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍۚ إِلَّا تَفۡعَلُوهُ تَكُن فِتۡنَةٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَفَسَادٞ كَبِيرٞ }, yang bermaksud; “Dan orang-orang yang kafir itu, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
Oleh itu, kata beliau, bagi memastikan usaha ini mendapat keberkatan dan keampunan serta redha Allah SWT, kesepakatan ini perlulah didasari dengan keikhlasan yang hakiki dari semua pihak.
“Matlamat utama mestilah untuk memelihara kuasa politik orang Melayu-Islam daripada diancam kepupusan yang akhirnya hanya akan merugikan seluruh pihak dan generasi akan datang.” Katanya
Sehubungan itu, ujar beliau, seluruh orang Melayu-Islam khususnya para pengundi di Negeri Sembilan diseru untuk keluar menyokong penuh usaha yang murni ini.
Katanya, tanpa dokongan dan undi daripada rakyat, gagasan penyatuan ini tidak akan berhasil diterjemahkan ke dalam bentuk kuasa pemerintahan.
“Dewan Ulamak PAS Pusat amat percaya bahawa kesefahaman yang terjalin ini bukan sahaja relevan di peringkat negeri, malah boleh diaplikasikan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi (nasional).
“Ia adalah demi maslahat dan kepentingan rakyat seluruhnya bagi menolak pihak-pihak yang jelas gagal dalam urus tadbir serta lemah dari sudut tatakelola dalam menguruskan negara dan memelihara kebajikan rakyat.” katanya lagi.
Sesungguhnya, tegas beliau lagi, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mengutamakan kebenaran, keadilan, dan perpaduan ini perlu terus subur dan dipertahankan.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan ini dan memenangkan perjuangan Islam.” tambah beliau





























