PORT DICKSON – Pengalaman lebih tiga dekad berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Angkatan Tentera Malaysia, menjadi asas pembentukan sahsiah dan kepimpinan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abd Fatah Zakaria
Menurut calon Perikatan Nasional (PN) N31 pilihan raya negeri ke-16 Negeri Sembilan itu, kehidupan sebagai anggota tentera bukan sahaja mengajar disiplin dan ketepatan masa, malah memupuk semangat kerja berpasukan, amanah serta kebersamaan bersama masyarakat.
“Saya telah berada dan menetap di Port Dickson (PD) sejak 30 tahun lalu dan saya sangat seronok dengan masyarakat di sini.
“Mereka peramah, mudah menerima kehadiran kita dan sentiasa memberi pandangan serta idea yang membina,” jelasnya dalam media sosial.


Beliau menambah, keunikan Tanjung Kemuning, nama asal PD adalah komuniti yang terdiri daripada anggota yang masih berkhidmat, veteran dan keluarga tentera serta penduduk tempatan yang hidup dalam suasana harmoni.
Katanya, budaya ‘militer’ sebati dengan penduduk Bagan Pinang menjadikan ‘sifat setempat’ yang terkenal dengan disiplin tinggi, semangat gotong-royong dan pengurusan organisasi yang tersusun.
“Ramai pengerusi surau dan masjid terdiri daripada bekas anggota tentera, sebab itu program yang dilaksanakan sentiasa kemas, teratur dan menepati masa kerana disiplin sudah menjadi budaya mereka,” ujarnya.
Ustaz Fatah turut berkongsi perjalanan kerjayanya yang pernah berkhidmat di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Miri, Sarawak dan Johor bersama Rejimen Askar Melayu Diraja, antara pasukan infantri tertua dan menjadi tulang belakang Angkatan Tentera Malaysia.


Beliau berkata, pengalaman merentasi pelbagai penempatan dan bergaul dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang memberi kefahaman mendalam mengenai keperluan rakyat serta kepentingan kepimpinan yang berintegriti.
Menurutnya, nilai-nilai yang dipelajari sepanjang berkhidmat dalam tentera akan terus menjadi pegangan untuk membawa suara rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.
Ustaz Abd Fatah Zakaria menjadi wakili rakyat DUN Bagan Pinang, apabila memenangi kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Negeri 2023 dengan majoriti 3,426 undi.
Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Najib anak ahli politik veteran Umno terkenal, Mohd Isa Samad





























