Jentera PAS Rhu Rendang Mesti Bersiap Sedia Hadapi ‘Siri’ Pilihan Raya

18

MARANG – Ahli Pasukan Jentera Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang diseru agar terus memperkukuh tekad dan penyatuan hati bagi mendepani gelombang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menyusul dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah berakhirnya pilihan raya di Johor, seluruh jentera parti perlu bersiap sedia untuk kembali ‘berkampung’ bagi memenangkan parti di Negeri Sembilan dan Melaka yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Menurut beliau, pelancaran jentera pada malam ini bukan sekadar sebuah acara simbolik biasa, sebaliknya ia merupakan satu ikrar serta komitmen bersama yang amat besar dalam menggerakkan gerak kerja parti secara menyeluruh.

.
.
“Yang paling besar ertinya ialah majlis seperti ini adalah merupakan suatu ikrar kita bersama, suatu tekad kita bersama untuk sama-sama kita menggerakkan jentera pilihan raya… bahkan untuk kita bergerak ke seluruh negara kita ini,” ujar beliau yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Mengulas mengenai strategi berhadapan parti lawan, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa PAS wajib mengekalkan pendekatan politik matang dan sejahtera, tanpa bersandarkan kepada elemen fitnah atau kebencian.

Beliau menambah, cabaran di negeri luar adalah berbeza dengan situasi di Terengganu, terutamanya dari segi budaya tempatan dan gerak kerja peseng (gaya) kempen. Justeru, ukhuwah dan kesatuan hati sesama ahli menjadi benteng utama kekuatan parti yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.

“Perbezaan boleh ada, tetapi semangat kita tidak boleh berbeza sedikit pun,” tegasnya lagi di hadapan ratusan petugas jentera, pimpinan Dewan Ulama, serta sayap pemuda dan muslimat yang hadir membanjiri majlis tersebut.

Majlis perasmian tersebut diakhiri dengan laungan takbir yang membakar semangat seluruh jentera DUN Rhu Rendang untuk terus melangkah menyantuni rakyat demi mencapai kemenangan mutlak.