PAS Badan Siasah Terpandu Kepimpinan Kolektif

59

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Melabelkan PAS sebagai parti mullah dengan tujuan menyudutkan PAS pada ruang optikal paling gelap adalah satu kebodohan. Kemeriahan kempen PRN Negeri Sembilan biarlah harmoni ,beretika, mengemukakan hujjah untuk persaingan demokrasi yang sihat. Jika neraca perjalanan PAS tempang maka tidaklah wadah ini menjadi pilihan para ilmuan agama,teknokrat ,profesional serta beragam aktivis terlatih. Besarnya nama PAS, sehingga ada calon calon PH dalam PRN Negeri Sembilan cuba ” menunggang” jawatan lama mereka dalam PAS!.

PAS dalam tujuh dasawarsa Ini telah bergulat dengan lapangan dakwah tarbiah dan siasah, merentas gelora tekanan politik regim sehinggalah menikmati kejayaan menghantar paling ramai Ahli Parlimen serta ADUN diseluruh negara. Keanggotaannya sentiasa membesar walau pelbagai tuduhan, usaha meremehkan PAS dibuat oleh para pembenci. Ramai sarjana Sains Politik meletakkan kekuatan PAS adalah kerana dipandu oleh alim ulama Serta dasarnya yang kukuh. Rakan sekutu politik, pimpinan boleh datang dan juga pergi meninggalkan bahtera PAS namun harakatul ummah ini terus bergerak dengan dasarnya yang utuh.

Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulama merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan Parti-parti serta NGO-NGO yang lain. Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, disuluh dengan arca tembus pandang bagi memastikan PAS terus bergerak diatas landasan yang kukuh.

PAS dikawal perjalanannya oleh Majlis Syura ulama, sebuah badan yang yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS. Badan ini menjadi ‘vanguard’ yang berautoriti dan mesti dilihat “bersih” para pengawal dalam entiti terpenting parti ini.

Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.

Ulamak di dalam gerakan Islam ini diibarisan hadapan dan meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Peranan mereka bukan sahaja menyatu tenaga dan fikiran sesama ulamak tetapi juga terfokus dan terarah kepada persoalan-persoalan yang menyentuh dasar dan perjalanan parti ini. Segala gerak kerja PAS yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak. Dengan wujudnya badan ini, mampu mengatasi stail kepimpinan berorientasikan individu yang pernah berlaku dalam PAS dalam dekad 70an.

Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada November tahun 1987, uniknya beliau juga adalah Presiden PAS saat itu.

Harakatul ummah ini sangat signifikan dalam pandangan warga negara ini, maka tak pelik jika segala isu berkaitan dengan Islam maka PAS akan terus diserang dan dihujat oleh pesaing politiknya. Lihatlah isu PRN Negeri Sembilan, PAS dituduh tidak berbincang dengan BERSATU . PAS dan PN mengambil langkah strategik mengusahakan pemuafakatan dengan BN untuk memastikan PHdap tidak lagi bertaring di negeri adat ini. Paling jahat menuduh ini adalah agenda beberapa kerat pimpinan .

Lebih tujuh dekad perjuangan memandu ummah dengan siasah Islam telah berlangsung , PAS menjadi tarikan pesona terbesar kepada umat Islam di negara ini serta turut menjadi rujukan kepada gerakan Islam yang lain dalam dunia kontemporari. Ironinya ada parti yang setahun jagung mereka berkempen dalam PRN untuk memburukkan PAS, bukannya untuk memberitahu pengundi tentang aspirasi perjuangan politik mereka. PAS terus berjuang dengan dada yang terbuka, menerima kritikan namun terus membesarkan payung organisasi. Maka tidak pelik jika parti ini paling stabil, paling berdisiplin serta paling aman dalam membuat sebarang keputusan.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)