PORT DICKSON – Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abd Fatah Zakaria, sekali lagi diberi kepercayaan mewakili Perikatan Nasional (PN) sebagai calon bagi kerusi N.31 Bagan Pinang pada pilihan raya negeri kali ke-16.
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu Dato’ Ariffin Deraman mendoakan agar beliau diberi kekuatan, kebijaksanaan dan dipermudahkan segala urusan dalam membawa aspirasi rakyat.
“Alhamdulillah, proses penamaan calon bagi N31 DUN Bagan Pinang berlangsung dengan lancar dalam suasana yang penuh semangat, tertib dan harmoni, PN mempertaruhkan Ustaz Abd Fatah Zakaria sebagai calon bagi kerusi N31 DUN Bagan Pinang.
“beliau ialah seorang pesara tentera berusia 60 tahun dikenali dengan pengalaman dalam pentadbiran sebagai ADUN sejak 2023, malah mempunyai rekod panjang dalam bidang ketenteraan, dakwah, politik dan khidmat masyarakat.” ujarnya
YB Ariffin berkata demikian Ketika ditemui selepas menyertai perarakan penamaan calon bagi N31 DUN Bagan Pinang, di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson, semalam.


Menurutnya, Ustaz Abd Fatah pernah berkhidmat sebagai Pembantu Agama Kanan dalam Angkatan Tentera Malaysia sebelum meneruskan peranan sebagai jurulatih kerohanian serta aktif dalam pelbagai pertubuhan veteran.
Dalam arena politik pula menurut Ariffin, Ustaz Fatah ialah Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Sembilan serta Yang Dipertua PAS Kawasan Port Dickson.
“beliau aktif memimpin serta menyertai pelbagai organisasi termasuk Persatuan Veteran ATM (PVATM) Port Dickson, Persatuan Khairat Kematian Bandar Springhill, Surau Al-Hijrah Bandar Springhill serta institusi pendidikan seperti PASTI Al-Mukmin dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Khawarizmi.
“Berkelulusan daripada Maahad Muhammadi Kota Bharu dan Sekolah Menengah Arab Agama Pasir Mas, Ustaz Fatah turut dikenali sebagai tokoh yang aktif dalam aktiviti kebajikan, dakwah dan pembangunan komuniti.” tambahnya.
Ustaz Abdul Fatah Zakaria terus menggalas amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.31 Bagan Pinang selepas mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023 atas tiket PAS mewakili Perikatan Nasional (PN), kata Ariffin.


“beliau memperoleh 10,921 undi atau 59.3 peratus, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Najib Mohd Isa yang meraih 7,495 undi atau 40.7 peratus, dengan majoriti 3,426 undi.
“Kemenangan itu menyaksikan beliau berjaya merampas kerusi DUN Bagan Pinang daripada BN, selain menewaskan Mohd Najib yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.” jelasnya.
Menurut maklumat carian atas talian, Ustaz Abdul Fatah merupakan bekas pegawai agama Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) dan pesara tentera.
Beliau telah menetap di Port Dickson selama lebih 26 tahun serta dikenali masyarakat setempat melalui penglibatan aktif dalam program keagamaan dan kemasyarakatan.
Sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada Ogos 2023, Ustaz Abdul Fatah komited membawa suara penduduk DUN Bagan Pinang ke persidangan Dewan Undangan Negeri di samping memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.





























