KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) secara rasmi telah meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang berlangsung hari ini, melibatkan parti-parti komponen iaitu PAS, WAWASAN, GERAKAN, dan MIPP.
Selain itu, PN turut mencapai kata sepakat untuk membenarkan penggunaan lambang “PERIKATAN NASIONAL” oleh semua calon mereka yang bertanding di Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar menegaskan bahawa segala proses perbincangan awal telah dijalankan dengan pengetahuan dan kebenarannya selaku pengerusi.
“Ianya telah pun dimuktamadkan dan DILULUSKAN oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada mesyuarat hari ini,” ujar beliau.
Beliau menambah, penyertaan calon-calon PN dalam PRN Negeri Sembilan ini adalah bertujuan untuk membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri, serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk, bukan sahaja di Negeri Sembilan malah di seluruh Malaysia.
Pengumuman calon-calon yang akan mewakili gabungan itu dijangka akan dilakukan pada hari ini.




























