Terengganu Perkasa Sektor Mineral, Pacu Pendapatan Baharu Negeri

27
YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman

KUALA TERENGGANU– Kerajaan PAS Terengganu terus memperkukuh pembangunan sektor mineral sebagai antara sumber pendapatan baharu negeri menerusi pelbagai strategi bagi meningkatkan hasil bukan cukai dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum.

Yang DiPertua PAS Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah memperkukuhkan tadbir urus sektor mineral melalui penyelarasan antara agensi, penambahbaikan dasar serta pelaksanaan Dasar Mineral Negeri Terengganu 2018 (Pindaan) 2025 bagi memastikan pembangunan industri itu lebih teratur dan mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri itu berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan, Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan industri hiliran mineral bagi meningkatkan nilai tambah sumber asli negeri, termasuk mengenal pasti kawasan pemprosesan bijih bauksit di Perasing, Kemaman.

Jelas beliau, langkah memproses mineral di dalam negeri mampu meningkatkan nilai pasaran, sekali gus menambah kutipan royalti serta hasil tidak langsung kepada Kerajaan Negeri melalui pembangunan rantaian industri yang lebih menyeluruh.

Katanya, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi kerjasama strategik dengan pelabur tempatan dan asing dalam projek perlombongan berskala besar bagi menjana pulangan melalui royalti serta dividen.

Dalam pada itu, kadar fi dan royalti galian telah disemak semula dengan purata kenaikan sebanyak 100 peratus berbanding kadar asal dan dijangka berkuat kuasa pada suku ketiga tahun ini.

Beliau menambah, sektor mineral turut menjadi antara fokus utama di bawah inisiatif New Income Terengganu (NIT) yang diyakini mampu muncul sebagai penyumbang penting kepada hasil bukan cukai negeri, sekali gus memperkukuhkan ekonomi Terengganu pada masa hadapan.