Kos Operasi Ketenteraan AS Menentang Iran Mencecah $37.5 Bilion

41

Amerika Syarikat (AS) setakat ini telah membelanjakan kira-kira AS$37.5 bilion (RM160 bilion) bagi membiayai operasi ketenteraan dalam konflik menentang Iran.

Angka terbaharu itu didedahkan secara rasmi oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, semasa memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Peruntukan Senat AS di Washington.

Menurut beliau, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak hampir AS$8 bilion berbanding unjuran rasmi Pentagon pada bulan Mei lalu yang meletakkan kos sekitar AS$29 bilion.

“Perbelanjaan AS$37.5 bilion ini merangkumi kos operasi semasa serta unjuran perbelanjaan sehingga tamat tahun fiskal pada 30 September 2026.” katanya

Melihat kepada situasi semasa, menurutnya, Pentagon kini sedang mempertahankan permohonan dana tambahan bernilai AS$67 bilion. Peruntukan ini kritikal bagi menampung operasi ketenteraan yang mendesak serta mengelakkan program latihan ketenteraan rutin daripada terjejas.

Selain impak kewangan yang besar, konflik berterusan ini turut mencatatkan kehilangan nyawa yang ketara.

Setakat ini, seramai 17 anggota tentera AS dilaporkan terkorban, manakala kira-kira 430 anggota lain mengalami kecederaan.

Situasi di rantau berkenaan kekal tegang dengan tumpuan global kini terarah kepada implikasi rantaian bekalan tenaga dan keselamatan maritim di Selat Hormuz.