KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengesahkan penerimaan dan merekodkan pelantikan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah menerima maklum balas rasmi daripada ROS bertarikh 19 Jun 2026 berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan parti.
Menurutnya, ROS mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari 2026 dan mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi terhadap peletakan jawatan Pengerusi PN sebelum ini dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai pengerusi baharu.
“ROS turut mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac 2026 bersama senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang baharu untuk direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, PN kekal komited memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 2016 (Akta 832).
Sehubungan itu, katanya, sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan Pengerusi Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.






























